JDT dihukum kerana penyokongnya membakar suar. FOTO Flash Sukan
JDT dihukum kerana penyokongnya membakar suar. FOTO Flash Sukan
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim melihat cadangan pemotongan mata kepada kelabnya berikutan tindakan membakar suar adalah tidak 'gentleman'.

Hal ini kerana, Tunku Ismail menyifatkan tindakan terbabit lebih kepada mahu pasukannya 'rebah' menerusi hukuman pemotongan mata daripada menentang seperti anak jantan di atas padang.

"Kami sudah didenda kira kira RM100,000 dan mungkin akan ada hukuman lagi. Kalau nak bertentang dengan JDT, takkan awak nak harap mata kita dipotong kerana penyokong bakar suar.

"(Itu) tak gentleman. Kalau nak kalahkan JDT, kalahkan atas padang, jangan harap kononnya mata JDT akan dipotong kerana pada pandangan saya, ia adalah 'loser mentality' dan 'mindset.'

"Pengurusan pasukan lain seharusnya beri tumpuan untuk menambahbaik skuad mereka daripada sibuk mengenai JDT," katanya menerusi satu temubual di Johor Southern Tigers.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan pemotongan mata ke atas pasukan ataupun hukuman beraksi dalam stadium kosong dilihat mampu 'mengajar' segelintir penyokong yang terus degil melanggar peraturan termasuklah membakar suar di dalam stadium.

Tindakan menyalakan suar adalah melanggar obligasi penganjuran perlawanan dan bertentangan dengan Artikel 70.1 Kod Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang melarang penyokong membawa masuk barang larangan ke dalam stadium.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamarudin Abdullah melihat mana mana hukuman seperti yang dinyatakan itu sebagai tindakan yang boleh 'diterima' bagi mengelakkan insiden sama terus berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 1:10 PM