CHOW ketika ditemui media di di Bilik Keputusan Tidak Rasmi PH Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap di Bukit Jawi Golf Resort. FOTO Danial Saad.
CHOW ketika ditemui media di di Bilik Keputusan Tidak Rasmi PH Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap di Bukit Jawi Golf Resort. FOTO Danial Saad.
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Pakatan Harapan (PH) bersama gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan akan melakukan bedah siasat berhubung kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Bakap.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya menerima keputusan dengan hati terbuka kerana ia adalah suara pengundi kawasan berkenaan.

Meskipun gagal untuk menawan semula kerusi itu, Cho berkata, sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, beliau tetap akan bertanggungjawab terhadap pengundi di Sungai Bakap, apatah lagi Parlimen Nibong Tebal dinaungi wakil Kerajaan Perpaduan.

"Keputusan ini adalah satu terjemahan suara rakyat terhadap apa yang berlaku di sini dan Perpaduan akan melakukan post mortem (bedah siasat) terhadap keputusan ini.

"Walaupun kempen dilaksanakan dengan baik bersama parti komponen namun kita masih gagal untuk meyakinkan rakyat.

"Jadi, kita akan meneliti semula gerak kerja sepanjang kempen ini, sebab apa yang berkaitan, kelemahan, kekuatan atau sebab-sebab lain (menyebabkan kekalahan dengan majoriti lebih besar)," katanya kepada pemberita di Pusat Penjumlahan Undi bagi PH di Bukit Jawi Golf Resort, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Chow berkata, peratusan keluar mengundi bagi kaum Cina dan India turun lebih 10 peratus, sekali gus memberi impak kepada keputusan dengan jurang majoriti lebih besar.

"Secara keseluruhannya peratusan keluar mengundi yang dicatatkan sekitar 63 peratus kurang berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, yang mana kita sudah jangkakan pada PRK ini.

"Bagaimanapun, kita akan mencari penyelesaian kepada isu-isu rakyat di sini, kita tidak akan ketepikan rakyat yang memerlukan bantuan di Sungai Bakap," katanya.

Terdahulu, Perikatan Nasional (PN) berjaya mengekalkan penguasaan di DUN Sungai Bakap apabila calon mereka Abidin Ismail menang kerusi berkenaan dengan memperoleh 14,489 undi menewaskan pencabarnya daripada PH, Dr Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2024 @ 10:04 PM