CHOW Kon Yeow. FOTO Mikail Ong
CHOW Kon Yeow. FOTO Mikail Ong
BERNAMA

Georgetown: Parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang dijangka mengadakan mesyuarat pada minggu ini bagi membincangkan persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata beliau difahamkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang merupakan antara parti gabungan sudah memulakan mesyuarat sebagai persiapan menghadapi PRK itu.

Chow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata DAP negeri menyerahkan kepada PKR dalam soal calon kerana parti terbabit telah bertanding di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Ogos lalu.

"Kita belum buat keputusan rasmi tapi persefahaman kami adalah parti yang bertanding sebelum ini diberi keutamaan," katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau yakin kerjasama mantap dalam kalangan parti Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada DAP, PKR dan Barisan Nasional (BN) memberi kelebihan kepada gabungan tersebut untuk merampas kembali kerusi Sungai Bakap pada PRK itu.

Penyandang kerusi berkenaan Nor Zamri Latiff, 56, meninggal dunia Jumaat lepas ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Sementara itu, Pesuruhajaya Pas Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff ketika ditemui pemberita di luar persidangan sama berkata parti itu akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan persiapan PRK Sungai Bakap dalam tempoh terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 3:53 PM