Dr Joohari Ariffin calon Perpaduan untuk PRK Sungai Bakap. FOTO Danial Saad.
Dr Joohari Ariffin calon Perpaduan untuk PRK Sungai Bakap. FOTO Danial Saad.
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Kerajaan Perpaduan menamakan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin sebagai calon mewakilinya untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Bakap, 6 Julai nanti.

Pengumuman calon itu dibuat Pengarah Pilihan Raya Perpaduan yang juga Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli pada majlis diadakan di Bandar Tasek Mutiara, di sini, malam tadi.

Rafizi berkata, Joohari yang lahir di Permatang Pasir, Seberang Perai dan membesar serta mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap, dipilih menjadi calon selepas mendapat restu semua pemimpin Kerajaan Perpaduan

"Calon yang kita tampil ini kena dengan kehendak (rakyat), yang pertama adalah anak tempatan yang boleh jaga orang di sini.

"Kedua, orang cerdik pandai dan ketiga, calon bertanggungjawab... buat hanya untuk aku (diri sendiri) tetapi untuk anak-anak aku (generasi akan datang).

"Sebab itu kita perlukan calon ini (mewakili Perpaduan untuk bertanding)," katanya.

Majlis pengumuman itu turut dihadiri Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar; Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Chow Kon Yeow; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan; Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Ketua Wanita Keadilan Fadhlina Sidek.

Untuk rekod, Joohari, 60, yang menetap di Taman Ilmu, di sini adalah seorang bekas guru dan pemegang ijazah kedoktoran (PhD) Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau aktif dalam kerja amal dan kemasyarakatan hingga dikenali sebahagian ibu bapa dan pelajar, guru serta penjawat awam di sekitar Dun Sungai Bakap.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis lalu menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 12:12 AM