Penduduk kampung Muhammad Aminzi Adnan meninjau kawasan rumahnya yang dinaiki air susulan hujan lebat kelmarin di Kampung Seberang Tok Do. FOTO BERNAMA
Penduduk kampung Muhammad Aminzi Adnan meninjau kawasan rumahnya yang dinaiki air susulan hujan lebat kelmarin di Kampung Seberang Tok Do. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di Kelantan dan Johor merekodkan peningkatan petang ini berbanding pagi tadi menjadikan jumlah terkini mangsa seramai 2,491 berbanding 1,892 mangsa.

Selangor dan Pulau Pinang pula menunjukkan penurunan bilangan mangsa manakala mangsa banjir di Melaka kekal 44 orang.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,520 mangsa membabitkan 494 keluarga setakat 3 petang ini berbanding 1,338 orang daripada 441 keluarga, pagi tadi.

Berdasarkan portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa banjir kini ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di Daerah Pasir Mas.

Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) memaklumkan jumlah mangsa banjir menunjukkan sedikit peningkatan kepada 296 orang setakat 4 petang ini berbanding 276 mangsa, pagi tadi.

Kesemua mangsa terdiri daripada 68 keluarga itu ditempatkan di enam PPS yang masih beroperasi di tiga daerah iaitu Segamat, Kulai dan Kluang.

"Di Daerah Kulai, PPS Dewan Serbaguna Kampung Baru Sengkang menempatkan 139 mangsa dan Dewan Raya Kampung Murni Jaya pula mempunyai 73 mangsa manakala di Kluang, PPS Dewan Utama Kampung Ithnin Maarof menempatkan 27 mangsa.

Di Segamat, tiga PPS menempatkan 57 mangsa iaitu masing-masing 39 mangsa di Balai Raya Kampung Batu Badak, Balai Raya Kampung Kuala Paya (empat mangsa) manakala Dewan Komuniti Tasek (14 mangsa)," menurut kenyataan itu.

Di MELAKA, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa banjir di negeri ini kekal 44 orang daripada 15 keluarga petang ini, sama seperti yang direkodkan pagi tadi.

Seramai 11 mangsa daripada enam keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Gadek manakala 33 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di Balai Raya Bukit Balai Durian Tunggal.

Di SELANGOR, menerusi laman web InfoBencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu terus mencatatkan penurunan daripada 693 mangsa membabitkan 171 keluarga pagi tadi kepada 538 mangsa melibatkan 133 keluarga setakat 2.35 petang.

Terdapat lapan PPS yang dibuka di negeri itu melibatkan empat buah di Kuala Selangor iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Sireh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Chih Batang Berjuntai dan Dewan Orang Ramai Seri Harmoni.

Empat lagi PPS di Klang iaitu di SK Kampung Johan Setia, SK Sungai Binjai, Sekolah Rendah Agama Pekan Meru dan Dewan Masjid Kampung Johan Setia.

Di PULAU PINANG, Penolong Pengarah Sektor Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang Mej (PA) Kamal Jakarinah berkata jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 93 mangsa petang ini berbanding 234 pagi tadi selepas satu daripada tiga PPS ditutup berikutan banjir di beberapa kawasan telah surut.

PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina True Light di Perkampungan Juru yang dibuka sejak Jumaat lepas, ditutup pada 1.30 tengah hari tadi manakala dua lagi PPS di Tasek Gelugor masih dibuka iaitu SK Lahar Yooi yang menempatkan 54 mangsa daripada 12 keluarga manakala Dewan Banjir Desa Puri kekal menempatkan 39 mangsa daripada 11 keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 6:59 PM