OPERASI pemindahan penduduk yang terjejas akibat banjir  di Beaufort. FOTO Ihsan APM
OPERASI pemindahan penduduk yang terjejas akibat banjir di Beaufort. FOTO Ihsan APM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Perak meningkat malam ini manakala di Sarawak kekal.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir di Beaufort meningkat kepada 228 mangsa daripada 72 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 102 mangsa daripada 36 keluarga tengah hari tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa banjir itu ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Selagon yang dibuka sejak 4 petang semalam susulan banjir berikutan hujan lebat berterusan.

"Kesemua mangsa dari lima kampung di Beaufort yang terjejas akibat banjir … pemantauan masih diteruskan di lokasi hotspot di daerah berkenaan," menurut kenyataan itu.

Di Perak, JPBN dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir kilat mencatatkan peningkatan pada 6 petang tadi dengan hanya sebuah PPS masih dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak di daerah Kerian.

Sekretariat itu memaklumkan PPS berkenaan menempatkan 35 mangsa daripada lapan keluarga yang terjejas dari Kampung Matang Tengah, berbanding 33 mangsa daripada tujuh keluarga pada 12 tengah hari tadi.

Tiga PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan Sungai Jernih, Selama; Balai Raya Kampung Klah, Sungkai serta Dewan Orang Ramai Kampung Simpang Halt, Taiping yang dibuka sebelum ini telah ditutup sepenuhnya semalam dan kesemua mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak pula memaklumkan hanya satu lorong di FT077 Jalan Pengkalan Hulu-Sempadan Thailand di Hulu Perak dibuka untuk dilalui semua kenderaan akibat runtuhan dan pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Jalan A 156 Jalan Karai-Jawang Trosor di Kuala Kangsar pula masih ditutup kepada semua kenderaan buat masa ini akibat tanah runtuh di kawasan itu.

Di Sarawak, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di dua PPS di Limbang kekal 33 orang daripada tujuh keluarga, setakat 7 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 9:47 PM