KEADAAN banjir di perumahan Vista Seri Kiranau, Penampang. FOTO Bernama
KEADAAN banjir di perumahan Vista Seri Kiranau, Penampang. FOTO Bernama
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah meningkat kepada 328 orang, setakat 4 petang tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), jumlah itu membabitkan mangsa yang dipindahkan ke PPS di daerah Penampang, Putatan, Tuaran dan Tamparuli.

Penampang merekodkan pemindahan mangsa paling ramai iaitu 165 orang daripada 67 keluarga, diikuti daerah Putatan seramai 116 mangsa daripada 25 keluarga.

Jumlah mangsa di kedua-dua daerah itu yang dipindahkan ke PPS Dewan Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang dan Dewan Sri Putatan, Putatan menunjukkan peningkatan berbanding masing-masing 126 mangsa dan 36 mangsa pada tengah hari tadi.

Sementara itu, di Tuaran seramai 29 mangsa daripada lapan keluarga dipindahkan ke PPS Balai Raya Kampung Tutu Selupoh, manakala seramai 18 mangsa daripada lima keluarga dipindahkan di PPS Balai Raya Kampung Bontoi di Tamparuli.

Setakat ini, seorang mangsa dilaporkan terkorban akibat dihanyut arus deras ketika mengharung banjir di Penampang awal pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 5:16 PM