Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kerajaan negeri menerusi portfolio Kesihatan Awam mengesahkan tiada lagi kes taun atau kolera di negeri itu selepas satu laporan kes terbabit di daerah Petaling pada 21 Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud bagaimanapun berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bersama kerajaan negeri akan terus memantau dari semasa ke semasa.

"Alhamdulillah..kita hanya ada satu kes itu sahaja, tiada kes lain. Kes itu sudah berakhir, tiada lagi jangkitan, epidemik pun tiada.

"JKNS sudah buat pemeriksaan dan ujian saringan di semua lokasi individu itu pergi, semua kontak individu itu negatif.

"Ya (Selangor boleh dikatakan bebas taun) tetapi pemantauan diteruskan, pegawai perubatan di klinik dan hospital juga akan buat ujian jika ada pesakit yang mempunyai tanda seperti cirit-birit dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Talian SELamat - Talian Hotline Keganasan Rumah Tangga di Perpustakaan Raja Tun Uda, Seksyen 13 di sini hari ini.

Mengulas mengenai perkembangan kes Covid-19 di Selangor pula katanya, beliau mengakui terdapat sedikit peningkatan kes jangkitan di Selangor baru-baru ini.

"Ya, baru-baru ini saya ada lihat data (terkini)..naik sedikit, kita bimbang trend ini terus meningkat disebabkan oleh keimunan kita mula menurun selepas mengambil dua dos yang bermula pada Mac lalu.

"Dalam kajian bahawa memang antibodi kita akan menurun selepas enam bulan, maka kita juga masih lagi berisiko untuk mendapat jangkitan.

"Sebab itu dos penggalak diberikan, bermula kepada warga emas, kormobit. Bagi mereka yang agak kerap keluar rumah, bekerja elok ambil untuk melindungi diri. Mungkin bukan 100 peratus tetapi jika dijangkiti ia tidak begitu teruk," katanya.

Beliau berkata, JKNS dan kerajaan negeri sentiasa bersiap sedia malah kerajaan negeri meluluskan RM10 juta untuk memantau mereka yang positif Covid-19 di rumah menerusi aplikasi SELangkah.

"Ini untuk memastikan pengesanan awal sebab ita tidak mahu ada kematian di luar hospital (BID) akibat Covid-19.

"Walaupun Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) sudah mula ditutup secara berperingkat sejak minggu lalu, kita akan wujudkan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan klinik kesihatan, mungkin satu daerah dua.

"Jadi kita menggunakan SELangkah untuk pemantauan mereka yang dikuarantin di rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 4:04 PM