LAPORAN portal Harian Metro semalam.
LAPORAN portal Harian Metro semalam.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan seramai 82 daripada 247 orang mengalami gejala keracunan makanan selepas memakan sarapan pagi pada Program Kemahiran Amal Islami (Kamil) Peringkat Daerah Gombak, Sabtu lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata keracunan makanan itu disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata yang didakwa sudah berubah rupa dan rasa.

Katanya, individu yang mengalami gejala terdiri daripada urus setia, guru, pekerja sekolah dan ahli keluarga yang berusia antara 18 bulan hingga 58 tahun.

Menurutnya, makanan berkenaan dibekalkan oleh pengendali makanan dari luar.

"Gejala utama yang dilaporkan adalah cirit-birit sakit perut, demam, muntah dan loya.

"Seramai 28 kes sudah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dan tiada kes yang dimasukkan ke wad.

"Sebanyak dua kes dilaporkan meninggal dunia tanpa menerima sebarang rawatan dari mana-mana fasiliti kesihatan membabitkan remaja lelaki berusia 17 tahun dan bayi perempuan berusia 19 bulan.

"Kedua-duanya mangsa memakan makanan dipercayai dibawa pulang oleh ahli keluarga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, JKNS masih menjalankan siasatan bagi mengesan kes baharu dan tindakan kawalan serta pencegahan bagi mengawal kejadian wabak keracunan makanan sedang dijalankan.

Katanya, sampel makanan yang diambil pada hari kejadian sudah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), Sungai Buloh bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian keracunan makanan.

"JKNS juga meminta agar individu terbabit yang mengalami gejala agar segera mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan bagi mengelakkan komplikasi keracunan makanan yang tidak diingini.

"Penganjur program dan orang awam perlu berhati-hati memilih premis dan pembekal makanan yang bersih.

"JKNS juga merakamkan ucapan takziah kepada kedua-dua keluarga mangsa," katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang budak perempuan berusia dua tahun dan remaja 17 tahun maut, dipercayai akibat keracunan selepas memakan bihun dan telur goreng yang dibawa pulang daripada sebuah sekolah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini, kelmarin.

Difahamkan program itu disertai 30 sekolah rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 5:00 PM