Tertuduh, Pengarah Syarikat, S Ramamoorthy, 41, dihadapkan ke mahkamah atas tiga pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi maklumat palsu berkaitan permohonan Insentif Pengambilan Pekerja Perkeso membabitkan jumlah RM74,120, dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Tertuduh, Pengarah Syarikat, S Ramamoorthy, 41, dihadapkan ke mahkamah atas tiga pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi maklumat palsu berkaitan permohonan Insentif Pengambilan Pekerja Perkeso membabitkan jumlah RM74,120, dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Oleh Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Pengarah syarikat pendidikan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga tuduhan mengemukakan dokumen palsu berkaitan permohonan Insentif Pengambilan Pekerja Perkeso membabitkan jumlah RM74,120, dua tahun lalu.

Tertuduh, S Ramamoorthy, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan tiga kertas pertuduhan itu, tertuduh didakwa memberikan satu dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama syarikat Karisma Education Group Sdn Bhd bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) keseluruhan berjumlah RM74,120 itu.

Tertuduh didakwa mengemukakan dokumen itu kepada pegawai Perkeso dengan niat hendak memperdayakan agensi itu yang mana mereka tahu dokumen berkenaan mengandungi pernyataan palsu mengenai nama pekerja baharu yang mana 10 penama dalam borang terbabit bukan pekerja syarikat berkenaan dan ia dibuat dengan maksud mengelirukan Perkeso.

Semua perbuatan itu dilakukan tertuduh di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso di sini, pada 25 Mei dan 26 Mei 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda jumlah yang terbabit atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli memaklumkan mahkamah bahawa perbuatan dilakukan tertuduh adalah di bawah kesalahan tidak boleh dijamin, namun mencadangkan jumlah jaminan RM40,000 bagi setiap tertuduh dengan dua syarat tambahan sekiranya dibenarkan mahkamah.

Peguam Amarpreet Singh Rajwinder Singh yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan yang rendah memandangkan tertuduh adalah penanggung tunggal keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan melapor diri di Pejabat SPRM Johor Bahru sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk serahan dokumen pada 14 Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 1:43 PM