FADZIYANI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas tuduhan menipu pembantu akaun Jabatan Akauntan Negara Malaysia Negeri Kedah untuk meluluskan bayaran sebanyak RM19,950, enam tahun lalu. FOTO Bernama
FADZIYANI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas tuduhan menipu pembantu akaun Jabatan Akauntan Negara Malaysia Negeri Kedah untuk meluluskan bayaran sebanyak RM19,950, enam tahun lalu. FOTO Bernama
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Jurutera Awam Kanan J48 didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menipu dan bersubahat meluluskan pembayaran kursus latihan yang dilakukannya pada 2018.

Tertuduh, Fadziyani Mohamed, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang ketika kejadian bertugas sebagai Ketua Unit Tentera, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah, Kem Lapangan Sungai Petani, didakwa bersubahat dengan Pengurus Syarikat Genius Intellect Services, Mohd Aswad Hamzah untuk menipu Jabatan Akauntan Negara.

Tertuduh secara tidak jujur menipu Pembantu Akaun, Mohd Ashari Abdul Wahab untuk meluluskan pembayaran yuran perkhidmatan Kursus Latihan Kakitangan Kursus Pemasangan Penyaman Udara bernilai RM19,950 kepada Syarikat Genius Intellect Services pada 31 Mei 2018 di Pejabat Jabatan Akauntan Negara, Kota Setar.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Zulfadli Azharudin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Norazam Majid.

Mohd Zulfadli kemudian meminta mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 ke atas tertuduh yang kini bertugas di Ibu Pejabat JKR Kuala Lumpur, berikutan kesalahan yang dilakukannya adalah serius dan membabitkan kepentingan awam.

Bagaimanapun, Mohd Norazam dalam rayuannya meminta jaminan lebih rendah berikutan tertuduh yang kematian suami pada 2016 kini hanya menerima gaji bulanan separuh sejak disiasat SPRM.

Tertuduh juga dalam rayuannya memaklumkan mahkamah tidak mempunyai wang simpanan yang banyak kerana mempunyai pelbagai pinjaman yang perlu dibayar setiap bulan.

Jean Sharmila kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta perlu menyerahkan pasport antarabangsanya dan melapor diri di Pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 20 Mei depan sebagai tarikh serahan dokumen dan pengurusan kes.

Sementara itu, Fadziyani membayar jaminan yang ditetapkan dan mengemukakan seorang penjamin di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 1:24 PM