Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Seorang kontraktor wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memperdaya bank dengan mengemukakan dokumen palsu untuk memohon pembiayaan yang diluluskan sebanyak RM200,000.

Tertuduh, Nor Syatillah Abd Aziz, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya bank dalam permohonan pembiayaan apabila mengemukakan dokumen palsu bagi tujuan mendapatkan pinjaman.

Pembiayaan itu kemudian diluluskan bank sebelum ia dikreditkan ke akaun tertuduh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3 petang, 12 Februari 2020 di Bank Rakyat Cawangan Kuala Nerang.

Berikutan itu, tertuduh yang bekerja sebagai kontraktor didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syaliati Mohd Sobri manakala tertuduh diwakili peguam, Izatul Sazrin Muhd Zin.

Nor Syaliati kemudian meminta mahkamah menetapkan wang jaminan RM30,000 ke atas tertuduh, namun Izatul memohon jumlah itu dikurangkan berikutan Nor Syatillah adalah ibu tunggal yang masih menyara anak kecil.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM7,000 dan tarikh sebutan semula kes pada 19 Oktober ini.

Tertuduh kemudian membayar wang jaminan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 1:00 PM
NOR Syatillah (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Alor Setar atas pertuduhan mengemukan dokumen palsu permohonan pinjaman bank berjumlah RM200,000. FOTO Zuliaty Zulkiffli
NOR Syatillah (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Alor Setar atas pertuduhan mengemukan dokumen palsu permohonan pinjaman bank berjumlah RM200,000. FOTO Zuliaty Zulkiffli