WAN Rosdy (empat kanan) diiringi Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali (empat kiri) pada Majlis Pelancaran Flag Off Barang Bantuan Kemanusiaan Dari Pahang ke Gaza, Palestin di Pelabuhan Klang. FOTO Faiz Anuar
WAN Rosdy (empat kanan) diiringi Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali (empat kiri) pada Majlis Pelancaran Flag Off Barang Bantuan Kemanusiaan Dari Pahang ke Gaza, Palestin di Pelabuhan Klang. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain

Pelabuhan Klang: Pahang dengan kerjasama Ops Ihsan melancarkan penghantaran barang bantuan kemanusiaan dari negeri itu ke Gaza yang mengandungi pek makanan nasi Arab ayam dan nasi Arab kambing selain selimut dan juga ubat-ubatan berjumlah 30 tan.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, misi penghantaran menerusi jalan laut itu akan bergerak dari Pelabuhan Klang pada 1 Jun dan dijangka tiba di Pelabuhan Said, Mesir, 4 Julai depan.

"Kerajaan negeri Pahang menerusi Sekretariat Pahang4Palestine pada hari ini melancarkan penghantaran barang bantuan kemanusiaan dari Pahang ke Gaza.

"Misi penghantaran barang bantuan ini hasil kutipan derma menerusi Tabung Pahang4Palestine yang digerakkan setelah penganjuran Himpunan Solidariti Pahang4Palestine di Kuantan pada 28 Oktober tahun lalu.

"Jumlah kutipan derma menerusi Tabung Pahang4Palestine sehingga hari ini (20 Mei) adalah berjumlah RM1.602 juta hasil sumbangan pelbagai pihak di Pahang," katanya dalam pada sidang media majlis pelancaran berkenaan, di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa setiap sen yang disumbang penderma akan sampai ke bumi Gaza.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua penyumbang sama ada pertubuhan, individu dan semua pihak.

"Saya janji setiap sen akan sampai ke bumi Gaza. Itu jaminan kerajaan negeri, kita ada satu jawatankuasa khas yang menjaga dan memantau sumbangan dari orang ramai," katanya.

Beliau berkata, misi kemanusiaan itu adalah inisiatif kali kedua dilaksanakan kerajaan negeri Pahang.

"Pada kali pertama kerajaan negeri menyalurkan wang tunai RM700,000 untuk membaik pulih masjid dan sekolah yang musnah dalam serangan rejim Israel menerusi Kempen Dana Tabung Pahang For Palestine dan Pelancaran Projek Rakyat Pahang di Bumi Gaza pada 2021," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri terus konsisten mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan rejim Israel ke atas penduduk awam Palestin di Gaza yang telah mengorbankan lebih 35,000 nyawa yang rata-ratanya terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan orang tua.

"Kerajaan negeri Pahang juga mendesak supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara seluruh dunia mencari jalan penyelesaian bagi menghentikan konflik kemanusiaan yang begitu kritikal di Gaza dan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan segera.

"Sama-samalah kita berdoa semoga misi penghantaran barang bantuan kemanusiaan dari Pahang ke Gaza mencapai objektifnya dalam membantu meringankan penderitaan dan kesengsaraan penduduk di Gaza yang sehingga ke hari ini terus dizalimi, ditindas dan dibunuh oleh rejim Israel tanpa ada sedikit pun rasa belas ihsan dan simpati," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Induk Ops Ihsan Jismi Johari berkata, Pahang menjadi negeri pertama yang membuat inisiatif peringkat negeri untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

"Kerajaan negeri Pahang mengumpul duit sumbangan, beli barang bantuan, mereka mengambil inisiatif sendiri hantar ke Gaza.

"Sebelum ini negeri lain melalui badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak lain, sama ada beri dalam bentuk wang atau menumpang Ops Ihsan dengan kapal terbang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 3:14 PM