Ahmad Safuan ( tengah ) dan Tuan Asri (kanan) berlepas ke Kaherah, Mesir bagi menguruskan bantuan perubatan dan keperluan lain kepada mangsa rakyat Palestin di Gaza, tadi.
Ahmad Safuan ( tengah ) dan Tuan Asri (kanan) berlepas ke Kaherah, Mesir bagi menguruskan bantuan perubatan dan keperluan lain kepada mangsa rakyat Palestin di Gaza, tadi.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Tidak mahu menunggu lama. Itu tindakan diambil pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM) yang segera menghantar dua exco ke Kaherah, Mesir, bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, Gaza.

Dua exco MCM terbabit berlepas ke Kaherah, Mesir dalam usaha memastikan bantuan kepada rakyat Palestin terutama di Tebing Gaza berjaya sampai kepada kelompok sasaran dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung, Ahmad Safuan Ujar dan Exco Media, Tuan Asri Tuan Hussein berlepas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada jam 10 pagi tadi.

Ahmad Safuan berkata, di Kaherah pihaknya akan bekerjasama dengan gerakan kemanusiaan antarabangsa, Miles of Smiles yang beribu pejabat di London dan diketuai seorang rakyat Palestin yang tinggal di sana, Dr Essam Mustafe.

"MCM sudah beberapa kali bekerjasama dengan Dr Essam yang memfokuskan penyampaian bantuan berkaitan perubatan kepada rakyat Palestin.

"Untuk penghantaran bantuan fasa ketiga ini, MCM menyalurkan dana sebanyak RM412,000 khusus untuk bantuan perubatan, termasuk untuk pembelian sebuah ambulans," katanya.

Beliau berkata, segala bantuan akan digerakkan ke Gaza secepat mungkin apabila pintu sempadan Mesir-Gaza di Rafah dibuka dan keadaan mengizinkan.

"Untuk makluman, bagi dana kepada rakyat Palestin dan Syria, MCM menyalurkan 100 peratus sumbangan yang kami terima, tanpa mengambil sedikitpun kos pengurusan. Ini sudah menjadi amalan kami sejak sekian lama," katanya.

Ahmad Safuan melahirkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia, agensi kerajaan dan swasta serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi kepercayaan dan sudi menjalinkan kerjasama dengan MCM untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.

Beliau berkata, antara NGO yang berkolaborasi dengan MCM untuk sumbangan fasa ketiga ini ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Iman Care, Perdana Global Peace Foundation (PGPF) dan Pertubuhan Khidmat Umah (PKU) yang dipimpin pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Anuar.

Ahmad Safuan berkata, setakat ini MCM sudah menyalurkan dana sebanyak RM787,000 untuk membantu rakyat Palestin dalam perang terkini dengan Israel yang mula tercetus pada 7 Oktober lalu dan sudah meragut ribuan nyawa.

"Fasa pertama membabitkan dana segera sebanyak RM100,000 dihantar pada hari ketiga perang kepada Pengerusi MCM Palestin, Ahmad Abu Ayesh di Gaza sebelum bantuan kedua sebanyak RM275,000 yang menyusul kira-kira semingga kemudian," katanya.

Untuk pertanyaan, hubungi Presiden MCM, Haji Zulkifli Wahijan ditalian 0192518771 atau Tuan Asri Tuan Hussein di talian 019 212 1113.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 6:23 PM