RAKAMAN imej satelit menunjukkan pembinaan di Sinai. FOTO Maxar Technologies/AFP.
RAKAMAN imej satelit menunjukkan pembinaan di Sinai. FOTO Maxar Technologies/AFP.
AFP

Kaherah: Mesir didakwa membina kem penempatan bertembok di Semenanjung Sinai untuk menerima rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza yang kehilangan tempat tinggal, menurut laporan media Amerika Syarikat (AS) dan badan pemantau hak asasi Mesir, kelmarin.

Bagaimanapun Israel yang empat bulan memerangi Hamas berkata, tiada rancangan untuk memindahkan penduduk di sana, ketika sedang bersedia dengan serangan di Rafah, selatan Gaza.

The Wall Street Journal melaporkan, 'kawasan bertembok' seluas 21 kilometer persegi sedang dalam pembinaan di sebelah sempadan Mesir.

Pembangunan itu adalah sebahagian daripada pelan kontigensi jika rundingan gencatan senjata di Kaherah gagal dan boleh menampung lebih 100,000 orang.

Yayasan Hak Asasi Manusia Sinai mengeluarkan laporan minggu ini, menunjukkan pembinaan kompaun untuk menerima pelarian Palestin dalam kes pemindahan besar-besaran.

Katanya, dua kontraktor memberitahu syarikat pembinaan ditugaskan untuk membina kawasan berpagar dan dikelilingi tembok setinggi tujuh meter.

"Tapak itu terletak di atas runtuhan rumah penduduk Mesir yang dirobohkan semasa perang negara itu menentang pemberontak Islam di utara Sinai sedekad lalu," katanya.

Sumber di Sinai memberitahu AFP, kawasan itu sedang disediakan sekiranya berlaku pelanggaran sempadan Gaza.

"Kawasan itu akan disediakan dengan khemah dan bantuan kemanusiaan akan dihantar," kata sumber itu.

AFP meninjau gambar satelit pada Khamis menunjukkan jentera giat membangunkan tembok sepanjang sempadan Mesir-Gaza di utara Sinai. Kawasan itu dikawal dan media dilarang mendekatinya.

Perbandingan dibuat antara gambar pada 10 Februari dan 15 Februari yang menunjukkan sebahagian besar tanah sudah ditarah.

Bagaimanapun, Gabenor Sinai Utara, Mohamed Shousha menafikan dakwaan Mesir sedang menyediakan kawasan terpencil di Sinai untuk menerima pelarian Palestin.

"Kerja pembinaan itu adalah untuk menilai kemusnahan rumah ketika pergolakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bagi tujuan membayar pampasan dengan sewajarnya kepada pemilik," katanya.

Mesir, yang mengawal sempadan Rafah yang melintasi Gaza, berulang kali memberi amaran terhadap sebarang pemindahan paksa rakyat Palestin dari Gaza ke padang pasir Sinai.

Presiden Abdel Fattah al-Sisi berkata, jika itu berlaku ia boleh menjejaskan perjanjian damai yang ditandatangani Mesir dengan Israel pada 1979.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Yoav Gallant kelmarin berkata, Israel tidak berniat untuk memindahkan orang awam Palestin ke Mesir kerana menghormati perjanjian damai negara itu dengan Mesir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 12:42 PM