ANGGOTA penguat kuasa DBKL melakukan sitaan terhadap gerai peniaga warga asing dan halangan awam di sekitar Parlimen Wangsa Maju, Kuala Lumpur, kelmarin. FOTO Ihsan DBKL
ANGGOTA penguat kuasa DBKL melakukan sitaan terhadap gerai peniaga warga asing dan halangan awam di sekitar Parlimen Wangsa Maju, Kuala Lumpur, kelmarin. FOTO Ihsan DBKL
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melakukan sitaan terhadap barang jualan enam peniaga warga asing dalam operasi dijalankan di sekitar Parlimen Wangsa Maju, di sini, kelmarin.

DBKL dalam kenyataan, semalam, memaklumkan operasi terhadap peniaga warga asing yang menyebabkan halangan itu dijalankan kira-kira 8 pagi, Selasa lalu.

"Seramai 25 anggota penguat kuasa dan petugas terbabit dalam operasi ini dengan lapan kes sitaan iaitu terhadap enam peniaga warga asing dan dua halangan awam diambil.

"Kawasan operasi meliputi kawasan di sekitar Jalan Danau Saujana, Jalan 4/ 27A dan Jalan 14/27B, Desa Setapak," katanya.

Menurutnya, pelbagai barangan disita termasuk meja, kerusi, kanopi, dapur, tong gas, payung, tong ais, mesin pengisar ais dan gerai.

"Tindakan dilaksanakan di bawah Notis Am Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1), UUK Perlesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) ekoran terdapat aduan ramai penjaja warga asing berniaga di lokasi itu.

"Tindakan juga dilaksanakan terhadap mereka yang membuat halangan awam ketika menjalankan aktiviti perniagaan.

"Tindakan seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 9:28 AM