ANTARA barangan yang disita oleh DBKL dalam tindakan khas dilakukan di hadapan Ampang Park dan Jalan Haji Hussein, Kuala Lumpur, semalam.
ANTARA barangan yang disita oleh DBKL dalam tindakan khas dilakukan di hadapan Ampang Park dan Jalan Haji Hussein, Kuala Lumpur, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Meskipun sudah diserbu sebelum ini, namun penjaja 'steamboat' di hadapan Ampang Park dan peniaga di Jalan Haji Hussein, di sini, ternyata tidak serik apabila masih berniaga tanpa lesen di kawasan berkenaan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan di Facebook, hari ini, memaklumkan pihaknya menerusi Jabatan Penguatkuasaan dan Pejabat Cawangan Titiwangsa melaksanakan Tindakan Khas Aktiviti Penjaja Tanpa Lesen dan Penjaja Warga Asing.

Katanya, operasi itu dijalankan di sekitar Jalan Haji Hussein dan Jalan Ampang yang terletak di hadapan stesen transit aliran ringan (LRT) Ampang Park, semalam.

"Tindakan khas ini dibuat secara mengejut melalui pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti perniagaan dan penjajaan.

"Ini termasuk penjaja makanan, minuman dan lain-lain aktiviti yang membuat kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen, salah guna lesen, halangan tred perniagaan di tempat awam serta penjaja warga asing," katanya.

Menurutnya, melalui tindakan khas dijalankan, DBKL membuat enam tindakan sita dan pindah barangan atau peralatan yang diletakkan di tempat awam terhadap pemilik restoran mahupun gerai.

"Selain itu, tindakan itu juga diambil terhadap penjaja tanpa lesen membabitkan individu tempatan dan warga asing atas kesalahan mengikut Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 serta Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016.

"Tindakan khas diambil ini adalah kali kedua dijalankan di lokasi sama dengan operasi pertama dilakukan pada 18 Januari lalu.

"Antara peralatan yang disita adalah kerusi meja, payung lipat, skuter elektrik, kenderaan 'steamboat' atau 'lolo' dan lain-lain," katanya.

Katanya, barangan dan peralatan yang disita itu dibawa ke Setor Sitaan DBKL Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk rekod penyimpanan sementara serta dokumentasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 11:29 AM