KEADAAN NURIRDINAASHIRA selepas terbabit dalam kemalangan. FOTO Ihsan Nurirdinaashira Irdi Hamzah
KEADAAN NURIRDINAASHIRA selepas terbabit dalam kemalangan. FOTO Ihsan Nurirdinaashira Irdi Hamzah
Redzuan Muharam

Kajang: "Saya pernah pergi dari rumah ke rumah sewaktu hamil tujuh bulan untuk buat rawatan wajah dan kembali bekerja selepas habis tempoh pantang.

"Memang susah waktu awal dulu, malah tak semua pelanggan suka apabila saya bawa anak bersama, namun cekalkan hati kerana mengenangkan nak cari rezeki."

Itu antara pengalaman tidak dapat dilupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal, Nurirdinaashira Irdi Hamzah, 27, atau mesra disapa Shira sewaktu menawarkan khidmat spa bergerak pada 2018.

Menurut Shira, perkhidmatan spa bergerak itu adalah usahanya untuk bangkit selepas empat tahun bertarung dengan emosi kesan kemalangan ketika membonceng motosikal dengan suaminya, Muhammad Zeekry Ahmad Roshidi, 27.

Akibat kemalangan itu, kaki kanan Shira cedera parah selepas termasuk dalam 'sport rim' dan terpaksa dipotong bagi mengelak jangkitan sekali gus mengubah hidupnya menjadi OKU.

Meskipun begitu, ibu tiga anak itu bekerja keras mengubah hidupnya hingga berhasil membuka premis spa, di sini, kira-kira dua tahun lalu bermodalkan wang simpanan dan mampu meraih keuntungan lumayan.

NURIRDINAASHIRA dan suami, Muhammad Zeekry (tengah) ketika majlis pelancaram spa milik mereka, dua tahun lalu. FOTO Ihsan Nurirdinaashira Irdi Hamzah
NURIRDINAASHIRA dan suami, Muhammad Zeekry (tengah) ketika majlis pelancaram spa milik mereka, dua tahun lalu. FOTO Ihsan Nurirdinaashira Irdi Hamzah

Menurutnya, bukan mudah untuk sampai ke tahap sekarang terutama dalam keadaan diri serba kekurangan, namun hidup perlu diteruskan.

"Meskipun pulih daripada kecederaan, saya tak boleh berdiri lama kerana boleh pitam, jadi ambil keputusan bekerja sendiri.

"Enam tahun lalu, saya nekad ceburi bidang kecantikan dengan menawarkan khidmat spa bergerak dengan pergi dari rumah ke rumah.

"Setiap hari saya kerja dan tak ambil cuti kerana nak cari duit kerana doktor pernah cakap, saya berisiko terkena jangkitan apabila sudah tua, jadi selagi terdaya, saya akan bekerja," katanya.

Sebelum membuka premis spa, Shira pergi ke merata tempat untuk memberi rawatan wajah kepada pelanggan termasuk paling jauh hingga ke Pahang.

"Itu cerita dulu, dan kini saya bersyukur kerana ada premis sendiri dan dapat berkongsi rezeki dengan emak ayah serta belikan apa yang mereka hajati," katanya.

NURIRDINAASHIRA ketika menjalankan khidmat spa bergerak dari rumah ke rumah. FOTO Ihsan Nurirdinaashira Irdi Hamzah
NURIRDINAASHIRA ketika menjalankan khidmat spa bergerak dari rumah ke rumah. FOTO Ihsan Nurirdinaashira Irdi Hamzah

Di sebalik nikmat dikecapi, Shira mengakui ada segelintir tidak menyenangi dirinya sehingga sanggup melemparkan komen berbaur sindiran selepas dia berkongsi video mengenai perjalanan hidupnya di TikTok.

"Ada yang kata saya gunakan status OKU sebagai strategi pemasaran sedangkan perkongsian itu bertujuan beri kesedaran kepada masyarakat.

"Pada masa sama, saya juga nak buktikan OKU boleh berjaya dan ke depan namun biasalah, tak semua orang terima.

"Apa pun, saya bersyukur kerana suami banyak beri galakan, malah dia kini yang membantu saya menguruskan spa. Suami juga ikhlas terima saya dalam keadaan begini, malah tak pernah ambil kesempatan," katanya yang merancang membuka cawangan kedua di Kota Warisan, Sepang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 2:43 PM