Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Demi kelangsungan hidup di ibu kota, Daniel Cheng, yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal akibat kaki dan tangan kanan lemah sejak lahir berusaha mencari rezeki dengan menjual biskut , kerepek dan keropok secara dalam talian.

Daniel, 30, yang menetap di Taman OUG di sini, mula mengambil upah menjual makanan itu sejak Mac lalu selepas meletak jawatan sebagai pengurus di sebuah pusat mengurut yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Bagi menarik pelanggan, Daniel yang hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda mengiklankan makanan jualannya di Facebook (FB), Daniel Berdikari; Instagram (IG), danielbeeskut; Twitter, danielcheng91 dan TikTok, danielcheng.

"Saya pernah melakukan beberapa pekerjaan sebelum ini antaranya di bahagian pentadbiran, penyambut tetamu di pejabat dan yang terakhir pengurus di pusat mengurut.

"Bagaimanapun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada awal tahun ini memberi kesan hingga saya nekad berhenti seterusnya cari rezeki dengan berniaga walaupun tiada pengalaman.

"Biarpun menerima elaun bulanan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), saya perlu bekerja kerana tinggal menyewa bersama rakan dan perlu bayar sewa rumah RM1,000 dengan RM500 untuk seorang setiap bulan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Daniel, antara makanan dijualnya termasuklah muruku, biskut coklat, wafer, keropok roda, kerepek bawang, ubi sambal dan kacang tanah kari.

Daniel dengan bekalan bisket dan kerepek yang dijualnya secara dalam talian. Foto Ihsan Daniel Cheng
Daniel dengan bekalan bisket dan kerepek yang dijualnya secara dalam talian. Foto Ihsan Daniel Cheng

Katanya, makanan itu tidak dihasilkan sendiri tetapi diperoleh daripada pembekal.

"Buat masa ini, saya promosikan jualan di laman sosial saja dengan menyertakan sekali nombor telefon jadi pelanggan akan hubungi menerusi WhatsApp.

"Kebiasaannya, saya gunakan khidmat pekerja syarikat penghantaran dan pernah juga menaiki kenderaan e-hailing untuk menghantar pesanan pelanggan bergantung kepada lokasi.

"Hasil jualan tidak menentu kerana jika ada rezeki, akan dapat lebih dan paling banyak pernah saya terima dalam sebulan adalah RM1,000," katanya yang juga anak tunggal dalam keluarga.

Daniel berkata, dia tidak mempunyai kemahiran lain yang boleh dilakukan untuk menjana pendapatan.

Menurutnya, dia akan terus mengambil upah dengan berniaga melainkan mendapat peluang lebih baik.

"Selain hasil jualan yang tidak menentu, cabaran lain saya adalah mendapat kepercayaan pelanggan yang mempunyai bermacam ragam dan kerenah.

"Ini kerana urus niaga dibuat secara dalam talian, jadi segelintir menyangkakan saya adalah 'scammer' yang menyamar untuk memperdaya mereka.

"Saya anggap itu semua lumrah tetapi ramai juga pelanggan yang baik hati jadi selagi terdaya, saya akan terus cari rezeki dengan cara ini, mungkin sehingga dijemput Ilahi," katanya.

Orang ramai yang berminat membeli makanan jualan Daniel boleh menghubunginya di talian 011-21381134.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 7:35 PM