Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Ketika segelintir individu memilih pekerjaan, ramai orang kurang upaya (OKU) mengharapkan diberi peluang bekerja.

Buktinya, ada yang sanggup bekerja dalam sektor 3D (kotor, bahaya, sukar) sebagai tukang sapu sampah dan pemandu jentera berat demi mencari rezeki.

Ikuti temu bual Harian Metro bersama dua insan istimewa OKU, Mohd Azme Akub dan Ibrahim Ismail yang ketepikan kekurangan diri dan gigih mengerah keringat untuk menyara keluarga.

IBRAHIM mengakui berat untuknya menerima hakikat perubahan diri yang kini terhad pergerakannya berbanding ketika normal dulu. FOTO Aizuddin Saad
IBRAHIM mengakui berat untuknya menerima hakikat perubahan diri yang kini terhad pergerakannya berbanding ketika normal dulu. FOTO Aizuddin Saad

Kemalangan motosikal enam tahun lalu hampir meragut nyawa bapa tiga anak, Ibrahim Ismail namun ditakdirkan umurnya panjang.

Insiden itu mengubah statusnya menjadi orang kurang upaya (OKU) kesan kecederaan pada pelvis dan tangan yang menyebabkan jangkitan kuman pada sendi hingga kaki kirinya tidak lagi kuat seperti dulu.

Berikutan keadaan itu, Ibrahim, 41, ditahan selama 45 hari di Hospital Kajang, Selangor dan tidak dapat bekerja kerana perlu mengambil cuti sakit selama dua tahun.

Mengenangkan tanggungjawab sebagai ketua keluarga, Ibrahim berusaha bangkit dan kini gigih membanting tulang mencari rezeki sebagai pemandu jentera berat di syarikat Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora).

Menyingkap kisahnya, Ibrahim mengakui berat untuknya menerima hakikat perubahan diri yang kini terhad pergerakannya berbanding ketika normal dulu.

"Saya terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja selepas motosikal ditunggang bertembung dengan kereta.

"Selepas kemalangan, saya tak koma, tetapi terbaring dan waktu itu 50/50 (antara hidup dan mati) juga hingga semua yang datang melawat menangis.

"Ketika itu, doktor kata saya mungkin tak dapat berjalan dan lumpuh akibat luka dalaman. Jadi keadaan itu membuatkan saya susah terima (hakikat), namun ramai yang beri semangat.

"Tapi ada juga juga yang cuba jatuhkan semangat saya dengan persoal kenapa masih kerja, tetapi saya abaikan kerana ada tanggungjawab mencari rezeki buat keluarga," katanya ketika ditemui Harian Metro di Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) dekat Presint 5 di Putrajaya.

IBRAHIM bersyukur kerana masih diberi peluang oleh majikan untuk terus bekerja walaupun dengan pergerakan terbatas dan kudrat tidak sekuat dulu. FOTO Aizuddin Saad
IBRAHIM bersyukur kerana masih diberi peluang oleh majikan untuk terus bekerja walaupun dengan pergerakan terbatas dan kudrat tidak sekuat dulu. FOTO Aizuddin Saad

Menurut Ibrahim, dia bersyukur kerana masih diberi peluang oleh majikan untuk terus bekerja walaupun dengan pergerakan terbatas dan kudrat tidak sekuat dulu.

Katanya, keyakinan majikan terhadapnya itu yang membuatkannya lebih bersemangat untuk bekerja.

"Skop kerja saya adalah kendalikan jentera berat dan alihkan pokok dan sampah di kawasan perumahan setempat yang ditetapkan dan berdasarkan aduan penduduk.

"Waktu kerja saya dari Isnin hingga Sabtu dan cabarannya adalah tak boleh berdiri lama, turun naik dengan kerap dan angkat benda berat.

"Ia kerana keadaan kaki kiri yang tak stabil dan risiko tinggi jika buat pembedahan namun mujur majikan faham dan masih terima saya," katanya.

Bagaimanapun, Ibrahim tidak dapat lari daripada pandangan sinis segelintir masyarakat yang memandang rendah pekerjaannya.

"Memang ada (memandang rendah) dan kebiasaannya orang pandang semacam setiap kali nak masuk kedai makan mungkin kerana risau saya bawa bau yang tak menyenangkan," katanya.

Zahir nampak sempurna

OKU fizikal dan juga kru pembersihan, Mohd Azme di Pusat Pelupusan Pandu Lalu (DTRC) Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora). FOTO Aziah Azmee
OKU fizikal dan juga kru pembersihan, Mohd Azme di Pusat Pelupusan Pandu Lalu (DTRC) Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora). FOTO Aziah Azmee

Zahirnya, Mohd Azme Akub nampak sempurna kerana mampu bekerja sebagai pekerja pembersihan.

Hakikatnya, bapa dua anak berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal itu pernah berdepan pengalaman ngeri terbabit kemalangan di tempat kerja yang menyebabkannya hampir cacat kekal.

Insiden itu berlaku selepas sarung tangan dipakai melekat pada mesin hingga tangan kanannya terputus hingga paras siku.

Bagaimanapun, rawatan dan pembedahan pantas membantu menyambung semula tangan Mohd Azme, 38, walaupun tidak sempurna seperti asal.

Bercerita lanjut, Mohd Azme yang menetap di Cheras berkata, peristiwa itu masih segar di ingatannya walaupun sudah 20 tahun berlalu.

"Saya angkat sendiri tangan yang terputus itu dan nampak cebisan daging sebelum masukkan ke dalam plastik.

"Tak pengsan pun ketika itu cuma tergamam dan takut melihat keadaan tangan yang terputus. Selepas kejadian, saya dikejarkan ke hospital dan buat pembedahan pada hari yang sama. Disebabkan tindakan pantas berkenaan, tangan saya dapat diselamatkan dan disambung semula," katanya ditemui Harian Metro di Pusat Pelupusan Pandu Lalu (DTRC) Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) di Chow Kit di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KERJA berjalan lancar cuma ambil masa untuk menyapu kerana tangan tidak sekuat orang normal. FOTO Aziah Azmee
KERJA berjalan lancar cuma ambil masa untuk menyapu kerana tangan tidak sekuat orang normal. FOTO Aziah Azmee

Bercerita lanjut, Mohd Azme berkata, hampir enam tahun dia tidak bekerja selepas terbabit dalam kemalangan itu dan bertahan dengan bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Saya mohon kerja di banyak tempat namun tak diterima kerana keadaan tangan dan status sebagai OKU.

"Ada juga orang yang memperlekehkan saya namun keluarga terutama isteri dan rakan yang banyak beri sokongan. Itu yang membuatkan saya tak putus asa hingga akhirnya diterima juga bekerja oleh majikan.

"Alhamdulillah, sudah dua tahun saya bekerja di syarikat Alam Flora dan masih bertahan hingga kini," katanya yang pernah bekerja sebagai jurukimpal.

Menurut Mohd Azme, waktu kerjanya bermula jam 7 pagi hingga 4 petang dan bekerja setiap hari kecuali Ahad.

Katanya, skop kerja saya adalah menyapu sampah sarap di kawasan ditetapkan oleh penyelia.

"Setakat ini, tiada kekangan sangat malah kerja berjalan lancar cuma ambil masa juga untuk menyapu kerana tangan tidak sekuat orang normal.

"Kepuasan saya adalah apabila dapat sempurnakan tugas dan bersihkan tempat yang kotor. Anak tahu saya kerja apa dan dia faham tugas saya walaupun masih kecil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 12:01 PM
IBRAHIM mengendalikan jentera berat dengan memasukkan sampah ke dalam lori. FOTO Aizuddin Saad
IBRAHIM mengendalikan jentera berat dengan memasukkan sampah ke dalam lori. FOTO Aizuddin Saad