TANGKAP layar luahan Muhammad Irfan di TikTok ketika menghantar  pesanan kepada pelanggan OKU warga emas. FOTO Ihsan Muhammad Irfan Mohd Rizam
TANGKAP layar luahan Muhammad Irfan di TikTok ketika menghantar pesanan kepada pelanggan OKU warga emas. FOTO Ihsan Muhammad Irfan Mohd Rizam
Redzuan Muharam


Melaka: Pertemuan penghantar makanan dengan seorang warga emas orang kurang upaya (OKU) dua bulan lalu antara kenangan tak dapat dilupakan pemuda itu sepanjang lima tahun mencari rezeki.

Mana tidaknya, Muhammad Irfan Mohd Rizam, 23, tidak tahu status pelanggannya itu sehingga detik menghulurkan makanan dipesan.

Berkongsi kisah itu, Muhammad Irfan berkata, pada hari kejadian, dia mendapat tempahan untuk menghantar pesanan makanan ke rumah lelaki berkenaan di Pokok Mangga, di sini.

"Saya tak ingat dia pesan apa cuma yang pasti bukan 'Uncle' itu buat pesanan tetapi orang lain.

"Sebaik tiba di depan rumah, saya cuba hubungi nombor telefon individu membuat pesanan tapi panggilan tak dijawab dan bunyikan hon namun tiada respon.

"Siapa yang tahan dalam keadaan macam itu ditambah dengan cuaca panas, jujurnya memang marah tapi beberapa minit kemudian, saya dengar suara lelaki panggil daripada dalam rumah," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mendengar suara itu, Muhammad Irfan terus masuk ke halaman rumah dan sebaik pintu dibuka, baru dia sedar yang pelanggan berkenaan adalah OKU warga emas berkerusi roda.

"Waktu itu, saya jadi serba salah kerana tak tahu keadaannya dan mula terfikir macam mana sukarnya dia nak duduk atas kerusi roda sebelum buka pintu.

"Sebak juga tengok riak wajahnya yang nampak gembira menerima makanan dihulurkan dan sebelum saya beredar, 'Uncle' itu sempat ucapkan terima kasih," katanya.

Menurut Muhammad Irfan, ia bukan kali pertama dia berjumpa pelanggan OKU kerana ada beberapa pengalaman sebelum itu.

"Pernah satu ketika, saya hantar pelanggan OKU dan waktu buat serahan, dia kira duit syiling untuk bayar makanan dipesan.

"Tersentuh juga namun kerja macam saya ini hati kena kental kerana akan jumpa dengan bermacam jenis orang," katanya.

Berhubung perkongsian video di TikTok, Muhammad Irfan berkata, niatnya sekadar berkongsi pengalamannya sebagai penghantar makanan.

"Saya tak aktif sangat di TikTok cuma kebetulan terjumpa video lama dalam simpanan telefon jadi saja muat naik untuk kongsi pengalaman.

"Tak sangka pula ramai tonton video itu sehingga meraih lebih 900,000 tontonan.

"Rata-ratanya komen positif tapi ada juga negatif mengatakan saya hanya fikirkan baran saya dan tak peka dengan OKU namun saya terima saja kerana itu pandangan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 9:00 PM