Muhamad Shafie menunjukkan tumpahan susu getah yang memasuki sawah miliknya di Hutan Kampung. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Muhamad Shafie menunjukkan tumpahan susu getah yang memasuki sawah miliknya di Hutan Kampung. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Tumpahan susu getah itu menyebabkan 1.15 hektar sawah milik saya rosak sehingga mengakibatkan kerugian hampir RM10,000," kata Muhamad Shafie, 65.

Dalam kejadian Sabtu lalu, sebuah treler yang membawa muatan 40,000 liter susu getah terbabas ke dalam parit di tepi jalan di Kilometer 41.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Hutan Kampung, dekat sini.

Kejadian itu menyebabkan susu getah itu tumpah di lokasi kejadian dan mengalir ke dalam parit sebelum memasuki sawah.

Tinjauan di lokasi mendapati, syarikat pembersihan giat membersihkan tumpahan susu getah di kawasan itu.

Menurut Muhamad, dia mengetahui kejadian itu sehari selepas kemalangan itu apabila dimaklumkan rakan, kawasan sawah miliknya itu dipenuhi susu getah.

Katanya, dia ketika itu berada di kawasan sawah tidak jauh dari situ bergegas ke lokasi untuk melihat apa yang berlaku.

"Sebaik sampai, saya nampak sawah milik saya berwarna putih dan dipercayai sudah dicemari dengan susu getah.

"Sebanyak 1.15 hektar sawah milik saya ini rosak dan memakan masa yang panjang untuk tanaman semula padi kerana semuanya sudah dipenuhi susu getah.

"Saya nak buat tanaman semula dalam tempoh terdekat ini memang tak boleh sebab ia membabitkan jangka masa yang panjang," katanya ketika ditemui di lokasi sawahnya, hari ini.

Muhamad berkata, untuk tanaman semula padi musim depan pun belum tentu dapat dilakukan kerana kerana bukan senang nak bersihkan kawasan sawah itu yang digenangi susu getah seperti itu.

Katanya, dia difahamkan, susu getah itu sudah bercampur dengan cecair ammonia.

"Saya buntu memikirkan untuk selesaikan masalah ini kerana ia bukan senang dilakukan dengan cepat," katanya yang sudah 30 tahun mengusahakan sawah.

Media sebelum ini melaporkan JAS Kedah melakukan pemantauan pembersihan tumpahan susu getah dari sebuah lori treler yang terbabas di lokasi kejadian pada 26 Jun lalu.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya menerima emel berhubung kejadian itu daripada sistem e-aduan pada hari berkenaan jam 6.59 petang dan pegawai JAS Kedah kemudian bergerak ke lokasi untuk melakukan siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 2:16 PM