BONGKAH cendawan yang disusun dalam rak.
BONGKAH cendawan yang disusun dalam rak.
SUSUNAN bongkah cendawan di dalam bangsal khas.
SUSUNAN bongkah cendawan di dalam bangsal khas.
CENDAWAN yang sudah matang dan bersedia untuk dituai.
CENDAWAN yang sudah matang dan bersedia untuk dituai.
Nur Syazwana Mansor


Sebelum ini dua beranak, Nor Hashikin, 31, dan bapanya, Khalid Abd Manaf, 53, dari Kampung Jelutong, Sik, Kedah, hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM500 sebulan hasil menoreh getah.

Menyahut seruan mengubah taraf ekonomi selepas terjejas teruk akibat kejatuhan harga getah, Nor Hashikin tampil mengusahakan tanaman cendawan tiram putih atau nama saintifiknya Pleurotus florida, sejak awal tahun ini.

Hasilnya, dua beranak itu dan adiknya, Farah Hana, 20, kini memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan dan boleh ditingkatkan lagi jika menambah jumlah tanaman.

Ini berikutan tanaman cendawan memiliki potensi pasaran kerana stok segar di pasaran pada masa kini tidak mencukupi bagi menampung permintaan tempatan.

Pengeluaran tanaman jangka pendek ini bukan saja dapat mengurangkan import negara, malah memberi pendapatan lumayan kepada pengusaha.

Nor Hashikin dan bapanya membantu penjagaan serta kualiti cendawan, manakala pemasaran diuruskan Farah Hana.

Menurut Nor Hashikin, bermodalkan 500 bongkah cendawan tiram putih yang dibekalkan Yayasan Prihatin Rakyat Kedah (YPRK) awal tahun ini, mereka sekeluarga nekad mengusahakan tanaman itu secara serius.

Katanya, modal awal yang dikeluarkan berjumlah RM3,000 untuk membina bangsal dilengkapi rak kayu bagi menyusun bongkah cendawan.

“Selepas lapan bulan mengusahakan tanaman cendawan, pulangan hasilnya konsisten dan lumayan setiap bulan.

“Kami kemudian menambah 6,000 bongkah cendawan bernilai hampir RM6,500 menggunakan modal pusingan dikumpul melalui wang keuntungan yang diperoleh.

“Kini, kami mempunyai 6,500 bongkah cendawan untuk diusahakan dan hasil pengeluaran turut berganda,” katanya.

Menurutnya, cendawan berkenaan boleh dituai dua kali sehari iaitu pada awal pagi dan petang dengan cara mencabut seluruh rumpun cendawan.

“Biasanya, pada waktu pagi kami boleh mengumpul kira-kira 14 kilogram (kg) cendawan dan 16 kg lagi pada sebelah petang sebelum dijual RM10 sekilogram kepada pembeli.

“Cendawan agak mudah ditanam berbanding tumbuhan bermusim, namun ia memerlukan penjagaan rapi dari aspek kelembapan dan suhu persekitaran.

“Suhu tidak boleh terlalu lembap atau terlalu kering untuk mengeluarkan hasil selain tidak boleh terdedah kepada sebarang jenis asap,” katanya.

Nor Hashikin berkata, cendawan juga memerlukan pengudaraan yang baik, cahaya malap dan serata, serta tidak boleh terdedah pada matahari kerana boleh membantutkan pertumbuhannya.

“Bongkah cendawan perlu dibersihkan daripada rumpai dan sampah secara berkala. Serangan bakteria boleh dikenal pasti apabila batang dan kelopaknya berwarna perang dan berlendir.

“Dari segi pemasaran, selepas menggunakan aplikasi WhatsApps, kami mendapat ramai pelanggan tetap dalam kalangan pengusaha kedai barangan basah dari kawasan berdekatan.

“Kami memperoleh RM2,000 sebulan berbanding hanya RM500 dengan menoreh getah dan merancang menambah bongkah cendawan pada masa depan sekali gus meluaskan pasaran,” katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri akan mewujudkan enam pusat pengumpulan cendawan iaitu di Pendang, Padang Terap, Kulim, Langkawi, Jerai dan Sik bagi membantu pengusaha cendawan memasarkan tanaman itu secara segar atau produk hilirannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Datuk Suraya Yaacob berkata, menerusi YPRK seramai 50 usahawan cendawan dipilih untuk projek perintis dalam kalangan penoreh getah.

“Seramai 20 peserta dari tanah besar dan 30 di Langkawi, dibantu menerusi YPRK yang membekalkan 500 bongkah cendawan bagi meningkatkan pendapatan susulan kejatuhan harga getah.

“Selepas lapan bulan kita mengadakan lawatan untuk melihat hasilnya dan kebanyakan peserta memperoleh pendapatan antara RM1,500 hingga RM2,500 sebulan.

“Cendawan tiram putih menarik kerana bukan sahaja rasanya enak, malah berkhasiat dan dipercayai dapat mencegah barah.

“Potensinya besar dan saya berharap Kedah akan menjadi pengeluar terbesar di negara ini dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di tiga rumah pengusaha tanaman cendawan tiram putih di kampung berkenaan, baru-baru ini.

Suraya berkata, tiga lokasi paling banyak mengeluarkan cendawan ialah daerah Sik, Pendang dan Padang Terap.

“Kita melawat tempat penanaman cendawan ini untuk menilai sebelum memberikan peruntukan tambahan kepada peserta bagi membantu mereka menggandakan pendapatan.

“Saya berharap lebih ramai berminat menjadi usahawan cendawan dan kejayaan kumpulan perintis ini membuktikan projek ini menjamin pendapatan tinggi.

“Harga jualan dari ladang sekitar RM10 sekilogram di sini dan RM15 sekilogram di Langkawi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 5:12 AM