Seorang penduduk Orang Asli memeriksa susu getah di RPS Kuala Betis, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
Seorang penduduk Orang Asli memeriksa susu getah di RPS Kuala Betis, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Cuaca panas yang melanda daerah ini sejak beberapa bulan lalu menjejaskan pendapatan penduduk Orang Asli kaum Temiar di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, di sini, yang bekerja sebagai penoreh getah.

Penduduk mendakwa, sejak tiga bulan lalu hasil jualan getah beku merosot sehingga 50 peratus yang secara tidak langsung memberi kesan kepada pendapatan keluarga mereka.

Ali Pedik, 59, berkata, dia kini buntu memikirkan nasib keluarganya apabila pendapatan menoreh getah semakin berkurang.

"Sejak tiga bulan lalu, susu getah semakin berkurang dan pokok getah serta daunnya semakin kering dan gugur. Bukan kami tak keluar awal untuk menoreh, tetapi untuk penuhkan satu cawan susu getah memakan masa beberapa hari apabila susu cepat kering.

"Bagi penduduk yang masih muda dan sihat mereka mungkin boleh mencari pekerjaan lain untuk menyara keluarga, tetapi bagi saya hanya mengharapkan pendapatan dengan menoreh getah semestinya sangat terkesan," katanya ketika ditemui di RPS Kuala Betis, di sini.

Manakala bagi Remy Along, 39, kerana desakan untuk menyara keluarga dia terpaksa memilih untuk bekerja di ladang sawit berhampiran penempatan mereka.

Katanya dia terpaksa meninggalkan kebun getahnya buat sementara waktu kerana perlu memikirkan tanggungjawab bagi menyara keluarga.

"Jika terus mengharapkan pendapatan sebagai penoreh getah sukar untuk saya menyara keluarga pada masa sekarang dengan kos hidup dan harga barang pun semakin meningkat jadi saya terpaksa beralih pekerjaan dan meninggalkan kerja sebagai penoreh getah.

"Malah harga getah yang dijual kepada orang tengah pun hanya RM2.80 sekilogram, hanya berapa yang kami dapat dengan susu getah yang semakin berkurang," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) RPS Kuala Betis, Sudin Rigen, berkata susulan cuaca panas memberi kesan kepada pendapatan Orang Asli di kawasan itu yang terpaksa berhenti menoreh getah.

"Saya mewakili masyarakat Orang Asli berharap agar pihak kerajaan dapat membantu kami termasuklah memberi bantuan wang tambahan ketika musim kemarau demi kelangsungan hidup.

"Kami juga berharap kerajaan terus melihat kesusahan penduduk di kawasan pedalaman ini daripada pelbagai aspek termasuk gangguan binatang terhadap tanaman yang dimusnahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 12:29 PM