Mohamad Hussin


Penyakit hawar daun Amerika Selatan (SALB) sekiranya menyerang pokok getah boleh melumpuhkan industri getah negara bernilai RM18 bilion setahun.

Penyakit yang disebabkan kulat daun (microcyclus ulei) disebarkan melalui angin dan air hujan menyerang pokok getah berbanding tanaman lain.

Kemasukan biji benih Guarana dari Brazil dan kawasan tropika Amerika secara haram boleh mengundang risiko yang tinggi.

Oleh itu, bagi membendung penyakit itu daripada merebak, Jabatan Pertanian (DOA) dengan kerjasama Lembaga Getah Malaysia (LGM) menjalankan kaji selidik kawasan ladang getah di Baling, Kedah, untuk mengesan penyakit berkenaan.

Timbalan Pengarah Bahagian Biosekuriti Tumbuhan (BBT) DOA Datin Jatil Aliah Timin berkata, SALB mengancam tanaman getah kerana penyebaran spora yang cepat, kulat sukar dikawal dan keupayaan tinggi memusnahkan tanaman getah.

Beliau berkata, daun muda yang berumur lingkungan sehingga 12 hari amat peka terhadap jangkitan penyakit.

“Simptom penyakit SALB akan kelihatan antara dua hingga tiga hari selepas jangkitan. Apabila ladang diserang SALB, sukar membuat kawalan kerana saiz pokok getah yang besar dan tinggi serta patogen kulat Microcylus ulei mempunyai banyak ras yang berbeza tahap ketahanan.

“Bagi penggunaan racun kulat, tiada racun sistemik yang benar-benar berkesan dan juga berkesan pada semua ras patogen. Ia perlu banyak melakukan semburan ulangan terutama di musim hujan.

“Oleh itu, negara rantau Asia termasuk Malaysia mencegah kemasukan tanaman getah dan yang berkaitan dari negara endemik SALB terutama Brazil serta kawasan tropika Amerika.

“Kami juga mengambil langkah mencegah kemasukan spora melalui apa saja bahan dan jenis tanaman dari negara berkenaan kerana bimbang SALB akan menyerang tanaman getah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada operasi pengesanan penyakit SALB di daerah Baling, Kedah, baru-baru ini. Turut hadir, Pengurus Bahagian Kemajuan Pengeluaran LGM Dr Adam Malik Ahmad Zambri.

Operasi berkenaan membabitkan lebih 200 ladang getah di sekitar kawasan berhampiran tapak nurseri pokok Guarana di Kampung Pokok Setol, Mukim Siong, Baling.

Jatil Aliah berkata, pada masa kini patogen kulat daun ini terdapat kira-kira 12 ras fisiologikal (physilogical races) yang menyerang klon berbeza, sentiasa berubah suai serta mempunyai tahap ketahanan terhadap racun berbeza.

“Kaji selidik dilakukan dalam lingkungan sekitar 10 kilometer (km) radius daripada kawasan tapak semaian terbabit yang disita itu.

“Simptom penyakit akan diperiksa manakala koordinat sistem kedudukan pengesan global (GPS) lokasi ladang akan direkod bagi memudahkan pemantauan.

“Berdasarkan pemerhatian, kami akan melihat pucuk, daun muda, daun matang dan daun yang gugur. Sampel yang disyaki akan dibawa ke makmal untuk dianalisis,” katanya.

Menurutnya, serangan SALB boleh menyebabkan daun getah menjadi cacat, berbintik hitam, pucuk mati rosot dan jika serangan pada pokok besar menyebabkan ia meranting, kering dan tidak dapat mengeluarkan hasil yang produktif serta seterusnya mati.

“Semua klon tanaman getah di negara Asia Tenggara dan Afrika sangat peka dan mudah diserang penyakit SALB.

“Penyakit SALB ini tidak terdapat di Asia Tenggara dan Afrika yang menyumbang kepada 99 peratus pengeluaran getah asli dunia.

“Kulat daun ini menyerang spesies hevea. Ia menghalang perladangan getah secara komersial skala besar di Amerika Tengah dan Selatan apabila penyakit SALB sentiasa menyerang tanaman getah di sana; katanya.

Katanya, penyakit itu menyebabkan epidemik apabila penanaman baru ladang getah diusahakan di satu-satu kawasan kerana kedua-dua kulat daun dan perumahnya berasal dari kawasan Amazon.

“Dari awal eksploitasi tanaman getah di Amerika Selatan dan Tengah, semua usaha penanaman getah skala ladang di kawasan ini gagal sama sekali. Bagaimanapun, patogen ini tidak terdapat di Asia dan Afrika. Kulat berkenaan diklasifikasikan sebagai invasif kerana keupayaannya memusnahkan ladang getah.

“Sehingga kini, semua langkah kawalannya sama ada secara kimia, biologi, biak baik baka atau pun secara agronomi tidak berkesan dan gagal.

“Penyakit SALB tidak pernah direkod di luar Amerika Tengah dan Selatan kerana langkah kuarantin yang ketat dilaksanakan bagi mencegah kemasukannya ke Asia dan Afrika,” katanya.

Larangan mengimport biji benih Guarana dari negara Amerika tropika termasuk Brazil adalah mengikut Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981 kecuali untuk tujuan penyelidikan.

Harian Metro pada 27 Julai lalu, melaporkan DOA melarang pengimportan biji benih Guarana dari Brazil dan kawasan tropika Amerika ke negara ini kerana ia mempunyai penyakit SALB.

Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek dipetik sebagai berkata, pengimportan biji benih Guarana secara haram dikhuatiri membawa masuk spora SALB yang disebabkan kulat daun.

Katanya, kegagalan tanaman getah di Brazil, Colombia, Costa Rica, Surinam dan Panama berpunca daripada penularan penyakit SALB.

INFO

Kesan serangan SALB:

• Pokok dijangkiti teruk akan mati

• Memanjangkan tempoh immaturiti getah

• Meningkatkan kos pengeluaran (kos kawalan, penanaman semula, pengurusan)

• Mengurangkan pendapatan (pengeluaran susu getah sehingga 70 peratus dan pengeluaran kayu getah)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 12:39 PM
JATIL Aliah menunjukkan biji benih dan anak pokok Guarana.
JATIL Aliah menunjukkan biji benih dan anak pokok Guarana.
JATIL Aliah menunjukkan anak pokok Guarana.
JATIL Aliah menunjukkan anak pokok Guarana.
 BIJI benih Guarana yang diseludup masuk ke negara ini.
BIJI benih Guarana yang diseludup masuk ke negara ini.
TAKLIMAT kepada pegawai DOA dan LGM sebelum operasi.
TAKLIMAT kepada pegawai DOA dan LGM sebelum operasi.
 PEGAWAI DOA dan LGM menyertai operasi mengesan SALB.
PEGAWAI DOA dan LGM menyertai operasi mengesan SALB.
JATIL Aliah memeriksa daun getah bersama pegawainya.
JATIL Aliah memeriksa daun getah bersama pegawainya.
SEORANG pekebun,  Jamaliah Saad, 58, menoreh getah seperti biasa.
SEORANG pekebun, Jamaliah Saad, 58, menoreh getah seperti biasa.
JAMALIAH dan anaknya mengutip hasil getah sekerap di Kampung Changkat Setol, Baling.
JAMALIAH dan anaknya mengutip hasil getah sekerap di Kampung Changkat Setol, Baling.