Kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan bomba
Kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan bomba
Amrullah Abdul Karim

Kuala Kubu Bharu: Dua lelaki dan seorang wanita parah selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kereta dan tiga kenderaan berat di Kilometer 401.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah Kuala Lumpur dekat susur masuk Plaza Tol Tanjung Malim kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Kemalangan membabitkan kereta Honda City dinaiki dua orang dan Honda Civic dinaiki seorang lelaki serta treler membawa muatan besi dan lori tangki yang membawa susu getah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.32 pagi dan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.

"Ketiga-tiga mangsa berusia lingkungan 30-an yang menaiki dua kereta parah dan mereka diselamatkan orang awam sebelum pasukan bertugas tiba.

"Semua mangsa itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan," katanya.

Beliau berkata, pemandu treler dan lori tangki tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kejadian itu menyebabkan susu getah yang dibawa lori tangki tumpah di lebuh raya berkenaan dan operasi pembersihan tamat jam 8.25 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 2:34 PM