Pam yang digunakan penduduk di Kampung Haji Din dan Kampung Sungai Jagung, Sungai Layar dekat Sungai Petani, Kedah, bagi membuang air kotor yang memasuki rumah mereka. FOTO IHSAN CAP
Pam yang digunakan penduduk di Kampung Haji Din dan Kampung Sungai Jagung, Sungai Layar dekat Sungai Petani, Kedah, bagi membuang air kotor yang memasuki rumah mereka. FOTO IHSAN CAP
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kira-kira 10 hektar sawah dan beberapa rumah di Kampung Haji Din dan Kampung Sungai Jagung, Sungai Layar dekat Sungai Petani, Kedah, terjejas diancam air kotor dari kawasan perumahan berdekatan.

Masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu menyebabkan petani dan penduduk mengalami kerugian akibat kerosakan tanaman padi dan harta benda setiap kali hujan lebat.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan mendapati masalah itu dipercayai berpunca daripada longkang lama di kawasan berkenaan tidak berfungsi manakala longkang baru dibina pula menghala ke kawasan sawah.

Katanya, berikutan itu, setiap kali hujan lebat, air kotor dan busuk dari kawasan perumahan mengalir masuk ke kampung dan sawah berdekatan.

"Akibat masalah itu, sebahagian daripada sawah milik penduduk tidak dapat diusahakan.

"Jika keadaan itu dibiarkan berlarutan, ia bukan sahaja menjejaskan kehidupan petani dan penduduk dengan lebih serius pada masa akan datang, malah tanah pertanian dan kampung tradisional di kawasan ini juga mungkin lenyap.

"Sehubungan itu, CAP menggesa kerajaan Kedah, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) dan jabatan berkaitan supaya menjalankan siasatan secara menyeluruh ke atas punca masalah itu dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya," katanya.

Sementara itu, penduduk, Tajudin Ibrahim, 70, yang mengusahakan sawah di Kampung Sungai Jagung mendakwa benih padi yang ditabur mati akibat dicemari air kotor dan berbau busuk dari kawasan perumahan itu.

"Setiap kali air kotor melimpah masuk ke dalam sawah, saya bersama empat lagi petani yang mengusahakan tanaman padi berhampiran longkang di kawasan ini mengalami kerugian besar akibat kemusnahan benih dan padi," katanya.

Shukri Md Noor, 40, pula berkata selain rumahnya kerap dimasuki air kotor, dia juga terpaksa meninggalkan kerja sawah berikutan hasil padi merosot teruk akibat kejadian itu.

Manakala Azizah Ismail, 65, turut memberitahu dia terpaksa menggunakan pam setiap kali hujan lebat bagi membuang air yang melimpah masuk ke dalam rumahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 12:37 PM