Tujuh individu didenda RM2,000 hingga RM2,500 atas kesalahan menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen, bulan lalu. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Tujuh individu didenda RM2,000 hingga RM2,500 atas kesalahan menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen, bulan lalu. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Tujuh individu termasuk seorang gadis ahli sindiket 'along' didenda RM2,000 hingga RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, tadi, atas kesalahan menjalankan aktiviti memberi pinjaman wang bulan tanpa lesen bulan lalu.

Semua tertuduh dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni sejurus pertuduhan dibacakan.

Tertuduh membabitkan Gabriel Ng Jia Rong, 26, Lai Kok Peng, 48, Chong Kok Wei, 22, Mah Chung Ming,18, Pang Xuan Yi,18, Celine Tan Yan Yi, 18, dan Tan Wui Hong, 52.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 (Akta 400) iaitu memberi pinjam wang tanpa lesen.

Jenayah itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Parkland Residence, Jalan Tun Perak, di sini, kira-kira jam 12.40 tengah hari, 25 Jun lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Akta 400, sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Isshar manakala semua tertuduh diwakili peguam Umar Zulkarnain.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) melakukan serbuan di sebuah kondominium mewah di Jalan Tun Perak, pada 25 Jun lalu susulan maklumat kegiatan satu sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau 'along'.

Dalam serbuan itu polis menahan tujuh individu termasuk seorang perempuan berusia 18 hingga 52 tahun dan merampas barang kes termasuk 14 unit telefon bimbit pelbagai jenama, tiga unit komputer meja, satu unit komputer riba, 21 kad juruwang automatik (ATM) dan wang tunai RM1,213.

Hasil siasatan, sindiket itu dikesan beroperasi sejak enam bulan lalu dengan menyasarkan pelanggan di sekitar Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka serta mengiklankan tawaran pinjaman menerusi laman sosial Facebook.

Mereka kemudian menghubungi pelanggan yang berminat melalui aplikasi WhatsApp sebelum melakukan transaksi pindahan wang melalui atas talian ke akaun bank pelanggan.

Sindiket ini menawarkan pinjaman wang antara RM500 hingga RM5,000 kepada pelanggan mereka dengan mengenakan kadar faedah 10 hingga 20 peratus seminggu.

Peguam dalam rayuannya memohon semua tertuduh yang bekerja sebagai kerani dan pembantu perkhidmatan pelanggan dikenakan denda ringan atas alasan sudah insaf selain itu kesalahan pertama mereka.

Pendakwaan berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan mengambil kira fakta kes dan kesalahan dilakukan semua tertuduh yang menjadi ahli sindiket along.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar terhadap Gabriel Ng, Kok Peng, Kok Wei dan Wui Hong.

Tertuduh, Chung Ming, Xuan Yi, dan Celine Tan pula masing-masing didenda RM2,000 atau tiga bulan penjara jika ingkar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 1:12 PM