FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Kuala Lumpur: "Saya ingatkan dia ikhlas tolong tapi sebaliknya apabila cuba ambil kesempatan dalam kesempitan," luah pemuda yang mahu dikenali sebagai Lie.

Lie, 35, seorang daripada mangsa kepada individu yang menawarkan khidmat sebagai orang ketiga untuk berunding dengan along berkaitan soal pinjaman yang dibuatnya.

Bagaimanapun, individu terbabit mengenakan caj tinggi kepada Lie hingga menambah lagi bebannya ketika berada dalam kesulitan.

Bercerita lanjut, Lie berkata, dia mengenali individu terbabit selepas berkongsi kisah di media sosial mengenai pengalamannya terjerat dengan aplikasi pinjaman secara dalam talian.

"Saya buat pinjaman along sebanyak RM2,400 dan hanya terima di tangan RM1,800 kerana terdesak untuk buat pembedahan mata dan tak sangka itu adalah tawaran sindiket along.

"Selepas jadi mangsa, saya kongsi pengalaman di media sosial dan entah macam mana, individu berkenaan hantar kiriman e-mel kepada saya.

"Mulanya saya tak layan kemudian dia hantar kiriman mesej (DM) pula di media sosial minta saya hubunginya dan berjumpa dengannya di pejabat," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Disebabkan terdesak, Lie pergi juga ke pejabat individu berkenaan dan terkejut apabila perlu membuat bayaran untuk membuat laporan serta membuka fail.

"Nak buat laporan saja saya kena bayar RM100 sedangkan duit dalam dompet saya tinggal RM150.

"Akan tetapi, saya bayar juga dan tak lama selepas isi borang, seorang pegawainya panggil.

"Ingatkan nak bertanya dulu masalah saya tetapi terus kira hutang serta minta saya buat bayaran sebanyak RM28,000 kepada along dalam tempoh 14 hari.

"Bagaimanapun, saya dimaklumkan yang rundingan dengan along hanya akan dibuat jika saya menjelaskan bayaran perkhidmatan sebanyak RM5,000.

"Disebabkan tiada duit sebanyak itu, saya minta pertimbangan bayar separuh dulu iaitu RM2,500 dan terpaksa korek simpanan sendiri selain pinjam sana sini termasuk dengan rakan," katanya.

Lie menyangka ia dapat memberi kelegaaan buatnya namun sangkaannya meleset apabila terus diganggu along.

"Balik saja rumah, saya terus dapat mesej ugutan daripada along.

"Cuma, saya bernasib baik apabila ada pihak iaitu daripada Darul Muttaqim iaitu sebuah pusat pengajian al-Quran dan Fardhu Ain di Alor Setar, Kedah yang cuba bantu malah selepas ke sana, baru saya tahu ramai rupanya jadi mangsa individu yang sama.

"Pulang dari Kedah, saya dihubungi individu berkenaan yang bukan hanya memaki, malah mengugut saya untuk tidak lari dan jelaskan hutang kepada along.

"Dalam perbualan itu, suaranya memang macam gangster tapi saya dinasihatkan untuk tidak layan untuk tidak keruhkan keadaan," katanya yang bersyukur kerana tidak lagi diganggu sindiket along.

Menurut Lie, apa yang berlaku membuatkannya serik untuk membuat pinjaman dalam talian dan berurusan dengan pihak ketiga kerana kedua-duanya menjerat dirinya.

"Bagi saya, individu yang tawarkan khidmat rundingan itu sama saja seperti along, ibaratnya dia pemungut hutang senyap (silent debt collector).

"Memang serik dan pada yang senasib di luar sana, laporkan terus kepada pihak polis jika jadi mangsa kerana itu saluran yang betul," katanya.

'Bayar RM3K jika nak kami tolong'

Bagi mendapatkan perlindungan, ibu kepada empat anak sanggup membayar kira-kira RM3,000 kepada individu yang menawarkan khidmat rundingan dengan along.

Khidmat itu ditawarkan kononnya untuk membantu wanita itu yang dikenali sebagai Wany, 40, yang terjerat selepas membuat pinjaman dengan along sebanyak RM40,000.

Malangnya, bukan hanya tidak mendapat perlindungan dan bantuan rundingan malah Wany terus diganggu sindiket along.

Bukan setakat ugutan malah rumah Wany turut disimbah dengan cat apabila gagal membayar bunga daripada pinjaman dibuat.

Berkongsi kisahnya, Wany berkata, dia membuat pinjaman itu pada tahun lalu bagi mendapatkan wang untuk modal pusingan perniagaannya.

"Saya buat pinjaman tanpa pengetahuan suami dan keadaan jadi rumit apabila saya tak dapat bayar kadar bunga pinjaman.

"Akibatnya, sindiket berkenaan ugut untuk culik anak dan waktu itu, tidur jadi tak lena sampai tak keluar rumah dan tak hantar anak ke sekolah kerana takut.

"Disebabkan terdesak, saya disyorkan untuk mendapatkan bantuan daripada seorang individu yang kononnya tawarkan khidmat bantu mangsa along.

"Bagaimanapun, individu terbabit kenakan caj perkhidmatan iaitu RM100 untuk buka fail dan itu tak termasuk bayaran lain," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Wany, dia sudah menjelaskan RM3,000 kepada individu terbabit yang berjanji untuk membuat rundingan dengan along supaya dia tidak diganggu.

"Kiranya, rundingan dibuat itu kononnya dapat memberi perlindungan kepada saya.

"Bagaimanapun, saya terus diganggu dan terima ugutan daripada along.

"Ada juga mesej wakil pihak perunding itu namun tak dibalas hingga akhirnya saya terpaksa berurusan sendiri dengan along.

"Alhamdulillah, semua hutang sudah selesai, malah saya sudah bayar lebih RM40,000 dan kini tak diganggu lagi," katanya.

Wany berkata, dia kini lebih berhati-hati dan sebolehnya enggan lagi membuat pinjaman dengan along.

"Bukan hanya serik dengan along tetapi juga individu yang cuba ambil kesempatan dalam keadaan saya berdepan kesulitan.

"Mereka ini nak hidup senang saja sampai ambil jalan mudah kaut duit daripada mangsa along, kononnya nak bantu tapi jerat kita dengan caj perkhidmatan tak masuk akal tanpa beri pertolongan pun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 12:00 PM