GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) merekodkan 324 kes dari Januari hingga 30 April lalu dengan kerugian RM2,467,404 membabitkan pemberi pinjaman wang tanpa lesen (Along).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya juga sudah menahan 543 Along dengan 159 kes dituduh mahkamah.

Menurutnya, tindakan pemantauan dan pembanterasan terhadap sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen dilaksanakan secara berterusan.

"JSJK sentiasa membuat pemantauan dan risikan secara berterusan bagi mengesan serta mengenalpasti sindiket Along yang bergerak aktif di seluruh negara.

"Along adalah istilah popular yang merujuk kepada orang perseorangan atau badan yang menawarkan pinjaman kewangan haram pada kadar faedah sangat tinggi kepada peminjam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ia disusuli dengan ancaman ugutan dan ancaman ke atas keselamatan diri, harta benda sehingga ke peringkat membunuh jika peminjam tidak mampu untuk membayar kembali wang pinjaman itu.

"Sasaran pelanggan Along adalah terdiri daripada mereka yang tidak layak untuk membuat pinjaman kewangan daripada institusi kewangan kerana disenarai hitam atau diisytiharkan sebagai muflis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 5:59 PM