EMPAT ahli sindiket ahlong termasuk seorang wanita yang mengandung tiga bulan didakwa atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat. FOTO Nur Aisyah Mazalan
EMPAT ahli sindiket ahlong termasuk seorang wanita yang mengandung tiga bulan didakwa atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Omar Ahmad


Johor Bahru: Empat ahli sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau Along didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat dengan api untuk mengugut mangsa, Mac lalu.

Kesemua tertuduh termasuk seorang wanita yang mengandung tiga bulan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Tertuduh, Abdul Halim Md Nor, 31; Veeno Chiew Men Ying, 42; Nur Azman Hassan Ashari, 36, dan Liew Choon Kian, 44, didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar bandar raya ini antara 10 hingga 27 Mac lalu.

Abdul Halim, Men Ying dan Nur Azman berdepan empat pertuduhan, bersama-sama melakukan perbuatan khianat dengan api terhadap kenderaan dan kediaman empat mangsa berlainan di sekitar bandar raya antara tarikh terbabit.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun berserta denda dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun berserta denda.

Abdul Halim dan Men Ying turut dituduh bersama Choon Kian melakukan perbuatan khianat dengan api terhadap kediaman milik seorang mangsa pada 15 Mac lalu, dengan kesalahan didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun berserta denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha'ari, manakala Abdul Halim, Men Ying dan Nur Azman diwakili peguam Nur Zafirah Norizan.

Choon Kian pula diwakili peguam, Adrian Lu Chian Chern.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 23 Mei depan.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, M Kumar berkata, sebanyak 24 kes berjaya diselesaikan susulan pertuduhan ke atas sindiket along berkenaan.

Katanya, kesemua tangkapan itu juga akan dituduh di Mahkamah Sesyen dan Majistret Kulai, Pontian, Kluang, Batu Pahat, Segamat, Muar dan Tangkak setelah pertuduhan di Mahkamah Johor Bahru selesai.

"Kejayaan operasi yang dijalankan menunjukkan komitmen tinggi Polis Johor dalam membanteras sindiket pinjaman wang tanpa lesen di negeri ini. Usaha begini akan diteruskan bagi memastikan Johor selamat," katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor menahan tujuh ahli kumpulan sindiket pinjaman wang tanpa lesen menerusi beberapa serbuan pada 28 Mac hingga 7 April lalu.

Kesemua tangkapan dipercayai menerima upah untuk membuat ugutan jenayah dengan cara menyimbah cat, khianat dengan api ke atas rumah kediaman milik mangsa yang gagal membuat bayaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 5:08 PM