Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Dalam operasi serentak di 13 lokasi sekitar Iskandar Puteri dan Johor Bahru Utara semalam, 15 individu yang disyaki terbabit dalam aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, operasi dijalankan antara jam 8 pagi hingga 1 petang berjaya menahan suspek berusia antara 22 hingga 43 tahun terdiri daripada 12 lelaki dan tiga wanita.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati semua suspek itu dipercayai ahli sindiket sama yang sebelum ini pernah diberkas dikenali sebagai kumpulan Ah Hao.

"Semua suspek ini adalah ahli kepada sindiket yang sudah lama aktif dalam kegiatan along yang mana mereka terbabit dengan kejadian mengugut dengan menyimbah cat, membakar kenderaan serta rumah," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, dalam serbuan itu juga, pihaknya merampas tujuh kenderaan pelbagai jenis berserta kunci kereta, 44 telefon bimbit pelbagai jenama, 22 kad ATM pelbagai bank, lima komputer riba pelbagai jenama, empat cop pelbagai nama syarikat, 19 set dokumen berkaitan pinjaman dan dua tablet.

Katanya, semua suspek kini direman tiga hari sehingga Ahad ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

POLIS menahan 15 individu selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
POLIS menahan 15 individu selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN

Sementara itu, dalam kes berasingan, Kamarul Zaman berkata, sindiket penipuan pekerjaan yang membabitkan suspek warga Singapura di sebuah kediaman di Taman Perling di sini, 26 Jun lalu, berjaya ditumpaskan.

Beliau berkata, empat suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 27 hingga 40 tahun itu berjaya diberkas hasil kerjasama antara Jabatan Hal Ehwal Komersial (Commercial Affairs Department) Polis Singapura dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman serta Polis Kontinjen Johor.

"Sindiket itu menyasarkan mangsa warga republik itu sendiri, dengan menggunakan akaun bank Singapura bagi urusan pembayaran sehingga menyebabkan kerugian berjumlah SGD 2.9 juta atau hampir RM10 juta.

"Sindiket penipuan ini dipercayai aktif menjalankan kegiatan penipuan ini sejak dua bulan lalu dengan menawarkan peluang pekerjaan yang tidak wujud di Singapura.

"Dipercayai, seramai 59 orang warga republik itu menjadi mangsa sindiket. Bagaimanapun, hasil siasatan, sindiket ini tidak membabitkan mangsa warga tempatan dan tidak menggunakan akaun bank daripada Malaysia," katanya.

Kamarul Zaman berkata, sindiket itu dipercayai hanya menjadikan Johor sebagai lokasi pusat panggilan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Kita turut merampas satu komputer riba, lima telefon bimbit, kad akses dan wang tunai Malaysia serta Singapura," katanya.

Beliau memaklumkan, semua suspek sudah diserahkan kepada Polis Singapura selepas Mahkamah Singapura mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka masing-masing tiga lelaki pada 30 Jun lalu dan wanita pada 5 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 6:50 PM