GAMBAR hiasan. FOTO Fuad Zamir Amirollah
GAMBAR hiasan. FOTO Fuad Zamir Amirollah
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Penggunaan rokok elektronik atau vape akan dikawal selia tiga kementerian iaitu Kementerian Kesihatan (KKM); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Kementerian Teknologi, Sains dan Inovasi (MOSTI).

KPDNKK dalam kenyataan berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, 28 Oktober lalu.

Menurutnya, KKM akan mengawal selia penjualan cecair yang mengandungi nikotin, mengikut Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952.

"KKM juga akan mengawal selia penjualan, promosi, penajaan dan pelabelan yang berkaitan dengan kesihatan bagi cecair tanpa nikotin rokok elektronik atau vape, manakala larangan merokok termasuk larangan penggunaannya bagi pengguna bawah umur.

" MOSTI melalui Jabatan Standard Malaysia akan membangunkan standard bagi bateri, peranti dan pembungkusan cecair tanpa nikotin rokok elektronik dan vape mengikut Akta Standard Malaysia 1996.

"Sementara, KPDNKK pula akan mengawal selia dan menguatkuasa peraturan standard keselamatan bagi bateri dan peranti mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599)," katanya.

Menurutnya, KPDNKK juga akan mengawal selia dan menguatkuasa penandaan maklumat berkaitan pada label peranti dan cecair tanpa nikotin rokok elektronik serta vape mengikut akta sedia ada.

Aktiviti pelesenan, pengeluaran, pengedaran termasuk import, eksport dan peruncitan peranti dan cecair tanpa nikotin rokok elektronik dan vape mengikut akta baharu juga akan dikawal selia KPDNKK.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 3:13 PM