GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmiza Dollah Aling dan Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Sebanyak 91.2 peratus panggilan talian bantuan yang dibuat kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak 11 Mac tahun lalu datangnya daripada individu yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, faktor lain individu terbabit membuat panggilan adalah kerana mengalami tekanan keterlaluan, murung, putus harapan untuk meneruskan kehidupan, hilang sumber pendapatan, perselisihan dengan pasangan serta keluarga dan stigma terhadap jangkitan Covid-19.

Menurut Dr Adham, KKM dan pelbagai kementerian serta jabatan sentiasa bersepadu dalam mengambil inisiatif daripada pelbagai aspek bagi menangani masalah kesihatan mental.

"KKM sudah dan sentiasa meneruskan pengukuhan strategi bagi menangani masalah kesihatan mental antaranya mempertingkatkan latihan bantuan asas psikologi kepada petugas barisan hadapan dan anggota agensi lain.

"Di samping itu, terdapat juga peruntukan untuk NGO menjalankan aktiviti konsep 'task shifting' iaitu pemerkasaaan masyarakat melalui memberi latihan dan kemahiran kepada individu di luar lingkungan KKM seperti 'persons with lived experience' untuk menyampaikan advokasi dan sokongan serta intervensi psikososial kepada masyarakat.

"Inisiatif lain adalah meningkatkan pembabitan pemimpin agama setempat di dalam advokasi kesihatan mental," katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), hari ini.

Dr Adham berkata, seramai 200 pegawai psikologi dilantik untuk bertugas sejak akhir tahun lalu hingga kini dan akan disambung pada tahun depan untuk meneruskan penyampaian kesihatan mental kepada barisan hadapan dan masyarakat.

Beliau berkata, KMM turut menghargai dan berterima kasih kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana mengambil langkah pragmatik dengan 160 pegawai terlatih di hospital di seluruh negara untuk menangani kes kemurungan.

"Sokongan dan solidariti pelbagai kementerian seperti ini amat bermakna dan bermanfaat kepada rakyat keseluruhannya," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 5:53 PM