GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Individu yang berkelakuan kejam termasuk membunuh boleh dikaitkan dengan masalah personaliti, menghidap tekanan mental yang melampau hingga hilang pertimbangan rasional.

Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, faktor itu boleh mendorong seseorang gagal mengawal pemikiran, emosi dan tingkah laku.

"Tekanan itu mungkin disebabkan faktor luaran yang mengganggu pemikiran dan emosi seperti cemburu, marah, dendam kesumat yang terpendam kerana peristiwa yang dilalui dalam kehidupan rumah tangga.

"Faktor latar belakang pelaku juga boleh menyumbang kepada kelakuan kejam termasuk pernah terbabit jenayah, tahap pendidikan dan persekitaran negatif," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau mengulas kes seorang suami dipercayai menembak mati isteri dengan mayat mangsa ditemui secara tragis dalam tong air yang ditanam di ladang serai di Kota Tinggi, Johor, Khamis lalu.

Mengulas lanjut, Dr Shazli berkata, kejadian itu adalah contoh sistem kepercayaan dan perasaan pelaku yang sudah rosak sehingga mampu bertindak kejam terhadap orang tersayang.

"Sudah tentu pelaku mempunyai motif tersendiri, namun perlakuannya itu sangat kejam dan tidak rasional. Kebiasaannya kekejaman berada pada tahap melampau apabila dirangsang oleh faktor dadah dan alkohol.

"Rasa bersalah akan menghantui pelaku disebabkan kekejaman yang dilakukan pada orang tersayang. Makin rapat hubungan mereka, makin rasa bersalah akan menguasai diri dan boleh menyumbang masalah lain termasuk kemurungan.

"Jika tidak dirawat ia boleh menyumbang kepada perbuatan bunuh diri," katanya.

Selain itu, katanya, tragedi berkenaan juga berupaya memberi kesan negatif kepada anak jika tidak diberi sokongan mental dan emosi oleh ahli keluarga serta masyarakat.

Beliau berharap anak mangsa dibantu secara signifikan oleh ahli psikologi atau kaunselor dan dibekalkan dengan ilmu keagamaan untuk berdaya tindak dengan betul.

Kejadian tragis itu terbongkar selepas polis menahan lelaki berusia 43 tahun susulan laporan kehilangan mangsa pada Isnin lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di kediaman mereka.

Malah, suspek mengaku membunuh wanita terbabit ketika sedang tidur menggunakan senapang angin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 2:34 PM