Muhamaad Razis Ismail


TRAUMA berlaku disebabkan pendedahan kepada peristiwa membabitkan pengalaman peribadi yang memberi ancaman kematian, kecederaan yang serius atau ancaman yang bahaya kepada fizikal diri atau orang lain.

Impaknya seseorang itu akan mengalami gangguan seperti mimpi ngeri, imbas kembali dan pemikiran

distress

yang sering berulang-ulang terhadap peristiwa trauma yang dihadapi.

Pensyarah Kanan, Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, individu itu juga akan menunjukkan simptom pengelakan iaitu mengelakkan pemikiran, perasaan, perbualan, tempat dan juga berkaitan dengan peristiwa trauma dan mereka sukar untuk mengingat kembali peristiwa penting yang dialami.

"Mereka juga mengalami bangkitan hiper iaitu gangguan emosi sehingga mereka tidak dapat mengawal dorongan, mudah marah, selalu merasakan diri dalam bermasalah sehingga menghadapi masalah tidur.

"Keadaan lebih sukar apabila ia akan menyebabkan seseorang itu tidak berdaya tindak dengan baik serta berfungsi untuk menguruskan diri sehingga mengganggu hubungan dan proses sosialisasi dengan masyarakat dan seterusnya mereka tidak dapat menyumbang kepada masyarakat," katanya.

Mengikut Model Trauma yang dibangunkan Schnurr dan Jankowski (1999) seseorang yang mengalami trauma menyebabkan berlaku perubahan psikologi sehingga mendorong seseorang itu untuk mengalami masalah kesihatan mental dan perkara ini akan menyumbang kepada perubahan biologikal. Seterusnya modifikasi DNA dan kemudian akan diperturunkan sehingga ke generasi ketiga sama ada dalam bentuk resesif iaitu secara pasif atau pun secara dominan.

Jelasnya, istilah baka merujuk kepada ciri-ciri yang diwarisi bayi daripada ibu bapanya. Baka diturunkan melalui gen yang terkandung dalam kromosom.

SESEORANG yang mewarisi gen ini sukar mengetahui punca masalah yang dihadapi.
SESEORANG yang mewarisi gen ini sukar mengetahui punca masalah yang dihadapi.

"Gen adalah unit halus yang menjadi pembawa baka atau sifat yang diwarisi daripada keturunan terdahulu. Melalui gen sifat-sifat umum manusia diturunkan kepada setiap individu.

"Oleh kerana gen diterima dari keluarga, keadaan ini menyebabkan individu banyak menyerupai trait fizikal keluarga mereka dalam beberapa ciri-ciri fizikal, mental dan emosi termasuklah penyakit," katanya.

Beliau berkata, anak, cucu dan cicit kepada pengidap Kecelaruan Tekanan Pasca Trauma (PTSD ) ataupun gangguan trauma boleh mewarisi trauma ini.

"Ia juga bergantung kepada dominasi atau resesif faktor genetik ini. Jika seseorang itu mewarisi genetik ini dan terdedah kepada faktor persekitaran seperti kejadian trauma, secara tidak langsung ia akan mengaktifkan genetik trauma dan seterusnya menjadi dominan dan individu terbabit akan mengalami simptom-simptom trauma," katanya.

ANAK, cucu dan cicit kepada penghidap PTSD boleh mewarisi trauma.
ANAK, cucu dan cicit kepada penghidap PTSD boleh mewarisi trauma.

Katanya, agak mustahil untuk menghentikan trauma yang diwarisi ini kerana seseorang yang mewarisi gen ini sukar mengetahuinya melainkan diceritakan pengidap mengenai penyakit ini.

"Oleh itu, faktor mengetahui susur galur keturunan paling minimum tiga generasi adalah penting kerana ia dapat membantu untuk proses intervensi rawatan trauma ini," katanya.

Mengulas lanjut, isu ini masih baru dan tiada kajian yang menjurus secara langsung kepada trauma diwarisi ini.

"Dalam masyarakat kita, isu ini masih terpencil. Oleh itu, penghidap trauma seharusnya mendapat rawatan yang sewajarnya bagi menghalang alterasi gen berlaku dalam diri mereka," katanya.

TRAUMA berlaku disebabkan pendedahan ibu bapa atau keturunannya kepada peristiwa yang membabitkan pengalaman peribadi.
TRAUMA berlaku disebabkan pendedahan ibu bapa atau keturunannya kepada peristiwa yang membabitkan pengalaman peribadi.

Tambahnya, sekiranya seseorang yang mengalami masalah ini tidak mendapat rawatan sewajarnya, ia akan mengganggu fungsi aktiviti hariannya.

"Mereka akan mengalami kesukaran untuk mengurus diri sehingga boleh menyebabkan individu itu mengalami masalah dengan individu yang terdekat seperti suami isteri, adik beradik, ibu bapa seterusnya merebak kepada ketidakfungsian dengan sosialisasi.

"Malah mereka juga akan berada dalam keadaan kemurungan dan kebimbangan yang ekstrem sehingga boleh menyebabkan mengalami psikosis dan berisiko tinggi untuk terbabit dalam aktiviti memusnahkan diri dan juga masyarakat yang terdekat dengan mereka," katanya.

Justeru itu, beliau menyarankan seseorang yang terdedah kepada peristiwa trauma seharusnya mendapatkan rawatan daripada pakar-pakar psikiatri dan psikologis dengan kadar segera.

GAYA hidup sihat antara alternatif mengurangkan masalah ini.
GAYA hidup sihat antara alternatif mengurangkan masalah ini.

"Kaedah rawatan yang bersesuaian adalah melalui farmakologi (ubat-ubatan) ataupun alterasi tingkah laku seperti Terapi Kognitif Tingkah Laku iaitu membetulkan pemikiran melalui penekanan psikoedukasi untuk membentuk tingkah laku yang positif.

"Rawatan melalui relaksasi juga dapat membantu untuk mententeramkan emosi yang kacau-bilau. Seseorang yang mengalami masalah ini perlu mendapatkan rawatan dari ahli psikologi yang menjurus kepada rawatan trauma ataupun ahli psikologi klinikal.

Bagi mengurangkan masalah ini dari menjadi bertambah serius, Dr Shazli menyarankan seseorang itu mengamalkan gaya hidup sihat, sentiasa mempunyai pemikiran yang positif, mengetahui cara relaksasi diri serta sentiasa sayangi diri sendiri.

"Pengenalpastian hobi amat penting, di samping dekat dengan agama juga boleh mengurangkan risiko berlakunya perkembangan trauma.

"Kekebalan diri dengan aura positif dan kasih sayang dapat merembeskan hormon-hormon positif seperti depomin, oksitoksi, serotonin and endorfin yang akan menjadi pendinding kepada penularan simptom negatif yang lahir disebabkan peristiwa trauma," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 7:00 AM