MASALAH kesihatan mental dianggap menjejaskan prospek perkahwinan.
MASALAH kesihatan mental dianggap menjejaskan prospek perkahwinan.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Apabila Maha, gadis Gaza berusia sembilan tahun pergi berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan bagi masalah kesihatan mental yang dialaminya, dia dinasihatkan supaya tidak datang balik ke klinik atau dia akan dipandang serong seumur hidup dan menjejaskan prospek untuknya berkahwin kelak.

Walaupun ramai yang mengalami masalah tekanan pasca-trauma (PTSD), keresahan dan kemuru­ngan di wilayah Palestin, pakar kesihatan mental berkata, kebanyakan penduduk tidak mahu mendapatkan rawatan kerana bimbang ia merosakkan nama baik keluarga dan menutup peluang anak gadis mereka untuk berkahwin.

“Kesedaran terhadap kesihatan mental masih rendah dan stigma masyarakat terhadap masalah ini amat kuat,” kata Bassam Abu Hamad, perunding kesihatan awam di Universiti Al Quds di Gaza.

“Masyarakat fikir masalah kesihatan mental ada kaitan dengan gangguan kuasa ghaib atau syaitan. Mereka anggap orang yang ada masalah ini sudah hilang fikiran dan gila,” katanya.

Menurut Bassam, kisah Maha itu menunjukkan wujudnya jurang yang membimbangkan antara halangan budaya dihadapi kanak-kanak perempuan untuk mendapatkan rawatan dan keperluan mendesak bagi doktor biasa diberikan latihan yang lebih baik.

“Dalam kes Maha ini, doktor (biasa) berkata, reputasi pesakit boleh terjejas jika terus mendapatkan rawatan dan dia akan dipandang serong sepanjang hayat,” katanya.

Sebenarnya Maha dibawa ke klinik kerana mengalami sawan, tetapi di Gaza ia dirawat sebagai pesakit yang ada masalah kesihatan mental.

Keadaannya semakin teruk ketika berlaku konflik di wilayah itu tahun lalu apabila dia terpaksa lari menyelamatkan diri selepas rumah keluarganya di Beit Hanoun terkena bedilan bom.

Maha yang kini berusia 13 tahun menjadi gadis pendiam, suka menyendiri dan kerap diganggu mimpi ngeri yang berulang. Dia hanya dirujukkan ke pakar selepas ibunya membawa dia balik ke rumah dan berjumpa doktor lain kerana mengalami kecederaan.

Tiada data rasmi kadar kelaziman masalah kesihatan mental di Gaza, tetapi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengang­garkan nisbah individu yang mengalami masalah mental yang ringan ke sederhana meningkat 15 hing­ga 20 peratus sepanjang tempoh cemas itu berbanding 10 peratus di luar tempoh krisis.

Sesetengah pakar mengatakan sehingga satu pertiga penduduk Gaza mungkin mengalami gangguan mental terutama sele­pas berdepan dengan pelbagai musibah seperti keganasan, kematian orang tersayang, kehilangan rumah dan kehidupan serta ketiadaan sokongan.

WHO menganggarkan nisbah orang yang mengalami gangguan mental serius termasuk psikosis ia boleh menyebabkan halusinasi (melihat, mendengar dan merasai sesuatu yang tidak wujud) atau delusi (khayalan) meningkat tiga hingga empat kali peratus semasa krisis daripada biasa iaitu sekitar dua hingga tiga peratus.

Sebenarnya keba­nyakan keluarga juga keberatan mencarikan rawatan untuk anak lelaki mereka, tetapi keengganan ini lebih ketara pada anak perempuan kerana ia berkemungkinan memberi impak besar ke atas reputasi si anak.

Kata Bassam, dalam komuniti yang dikuasai lelaki, pandangan masyarakat terhadap perempuan lebih buruk.

Menurut pegawai kesihatan mental WHO di Gaza, Dyaa Saymah, kanak-kanak perempuan yang ada gangguan mental lebih berdepan dengan stigma kerana orang beranggapan masalah itu ada kaitan rapat dengan keturunan.

“Orang percaya apabila seseorang ibu ada masalah kesihatan mental, dia akan mewariskannya pada anak. Mereka takut kalau berkahwin dengan perempuan yang pernah ada masalah kesihatan mental,” kata Dyaa lagi.

Kepercayaan bahawa masalah kesihatan mental boleh diwarisi - walaupun kaitan dengan genetik mungkin boleh menjadi salah satu faktor - bermakna keluarga di Gaza akan menyembunyikan saudara-mara atau ahli keluarga yang ada gangguan psikotik seperti skizofrenia semata-mata mahu menjaga reputasi anak perempuan mereka.

Terasing

Pakar berkata, konflik di Gaza secara tidak langsung merangsang tekanan psiko-sosial ke tahap akut dan membimbangkan terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang mewakili hampir separuh daripada 1.8 juta penduduk.

Selepas melalui tiga peperangan dalam tempoh tujuh tahun, tidak hairanlah jika ramai yang terjejas emosi, malah semakin tertekan dengan konflik terakhir yang lebih teruk.

Mana tidaknya, dalam tempoh 50 hari konflik melawan Israel itu mengorbankan lebih 2,100 nyawa rakyat Palestin dan menyebabkan kemusnahan harta benda yang teruk termasuk rumah dan sekolah.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan seramai 373,000 kanak-kanak memerlukan sokongan psikologi yang khusus.

Penderitaan yang dialami setiap hari juga tidak dapat dirawat kerana Israel mengenakan sekatan sejak 2007 selepas Hamas memenangi pilihan raya yang menyebabkan berlaku peningkatan pengangguran, kemiskinan dan kemuru­ngan.

Bassam menyambung, masalah dihadapi gadis di Gaza yang berdepan pe­ngalaman trauma lebih hebat daripada lelaki kerana faktor budaya selain halangan yang mengehadkan pergerakan mereka. Semua faktor ini membuatkan pesakit kanak-kanak perempuan lebih terasing.

Ketika kanak-kanak lelaki boleh bermain di luar bersama rakan mereka, kanak-kanak perempuan pula tiada tempat untuk bersukan atau bersosial, katanya.

Selain aspek kebersihan yang kian merosot, penempatan yang padat di kem perlindungan juga menyebabkan remaja perempuan khususnya semakin tertekan kerana tiada lagi ruang privasi untuk mereka. Malah, ramai remaja yang mengalami masalah berkaitan pundi kencing kerana kekurangan tandas berasingan untuk lelaki dan wanita.

Tetapi, pakar kesihatan mental berkata, kini sudah ada perkembangan positif di Gaza. Ini kerana perkhidmatan untuk kesihatan mental sudah dimasukkan ke dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan awam di semua klinik di seluruh Gaza bagi membantu mengurangkan masalah yang dihadapi penduduk. Tambahan pula kini sesi kaunseling juga diwujudkan di semua sekolah di Gaza.

Bassam memberitahu, peningkatan kes yang direkodkan tahun lalu juga ada hikmahnya kerana ia turut membantu menyedarkan masyarakat, sekali gus mengurangkan stigma terhadap masalah itu.

“Sekarang isu kesihatan mental bukan lagi masalah individu, tetapi ia masalah semua orang,” katanya. Thomsom Reuters Foundation.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 11:02 AM