GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Kecuaian ibu bapa memanjakan anak dengan memberikan gajet atau telefon pintar tanpa pemantauan membuka ruang kepada 'pemangsa seksual' (sexual predator) atau pedofilia mengeksploitasi anak-anak mereka.

Penasihat Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berkata, ibu bapa perlu lebih prihatin tentang anak mereka dan jika diberikan akses kepada peranti, ia harus dikawal serta dipantau.

"Kita sudah banyak teknologi yang membenarkan ibu bapa untuk mengetahui aktiviti skrin anak mereka tanpa sebarang masalah jadi tidak ada alasan ibu bapa lepas tangan isu bahan pornografi yang membabitkan kanak-kanak ini.

"Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 juga jelas menggariskan bahawa mengakses atau melayari bahan pornografi kanak-kanak menjadi kesalahan apatah lagi menyimpan, mengumpul atau menyebarkannya, pasti kesalahan yang lebih berat.

"Dalam akta itu juga meletakkan bahawa individu yang melakukan kesalahan itu akan dikenakan tindakan menerusi beberapa peruntukan seperti Seksyen 5 serta Seksyen 8 akta sama apabila bertukar bahan pornografi, menyampaikan bahan porno dan bermacam lagi peruntukkan," katanya.

Beliau berkata, negara ini sudah mempunyai peruntukkan perundangan namun apa yang tinggal adalah langkah penguatkuasaan perlu menyeluruh.

Katanya, pihak berkuasa berkaitan perlu menggandakan usaha penjejakan dan orang awam yang mempunyai maklumat juga boleh menyalurkan setiap informasi itu kepada pihak berkuasa supaya individu yang menjadi dalang ini ditahan.

"Banyaknya tangkapan yang dilaksanakan serta pendakwaan akan memberi natijah kepada semua pihak bahawa kesalahan pornografi kanak-kanak ini adalah berat.

"Saya juga mengharapkan bahawa denda atau hukuman terhadap pesalah ini lebih berat kerana mangsa kepada insiden ini akan mengalami kesan trauma yang panjang dan mungkin berkekalan," katanya.

Mangsa menderita trauma emosi

Wujud kesan negatif terhadap pendedahan laman lucah pada peringkat awal usia selain menjadi faktor pendorong berlakunya jenayah lain seperti rogol serta sumbang mahram.

Hal ini berlaku kesan gelojak nafsu tidak dibendung hingga tergamak menjadikan adik beradik dan kanak-kanak sebagai alat untuk memuaskan nafsu.

Pakar Perunding Kanan Psikiatrik Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, proses terapi perlu dilakukan khususnya kepada mangsa supaya trauma emosi yang dialami boleh diminimumkan seterusnya mangsa dapat terus menjalani kehidupan tanpa gangguan emosi yang berpanjangan.

"Penilaian emosi perlu dilakukan bagi mangsa supaya pengesanan awal dapat dilakukan sebelum ianya menjadi lebih serius. Daripada aspek psikologi, perlu adanya sempadan atau boundaries dalam hubungan kerana mereka yang terbabit dengan incest mungkin ada kesukaran untuk melihat sempadan dalam hubungan khususnya membabitkan emosi," katanya.

Beliau berkata, ada kemungkinan rawatan ubat juga diperlukan bagi mencegah dan membendung tekanan mental daripada menjadi lebih serius.

Katanya, terdapat faktor yang mendorong keadaan ini berlaku berikutan kehendak dan sokongan seksual atau emosi tidak dapat dipenuhi oleh pasangan atau diabaikan pasangan.

"Oleh itu ianya akan cenderung kepada ahli keluarga yang lain yang mungkin seolah-olah dapat memenuhi kehendak terbabit.

"Ini mungkin berkaitan dengan hubungan kekeluargaan yang tidak baik seperti ketidakfungsian famili.

"Ada juga yang berkaitan dengan kewujudan ketidakjujuran dalam perhubungan khususnya suami isteri yang akhirnya menyebabkan wujudnya risiko terhadap perlakuan sumbang mahram," katanya.

Menurutnya, kesan yang akan dihadapi oleh mangsa adalah sukar untuk mempunyai hubungi emosi dan situasi hubungan love-hate mungkin akan timbul.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 7:45 AM