DR Joohari kanan) beramah mesra bersama pengamal media di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong
DR Joohari kanan) beramah mesra bersama pengamal media di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap secara peribadi mengakui 'tertekan' apabila dirinya diletakkan harapan yang tinggi untuk menawan semula kerusi yang dimenangi parti itu sebelum tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun, Joohari, 60, berkata dengan kekuatan jentera Perpaduan di seluruh negara yang turun memberi sokongan dan membantu kempennya ia tidak mustahil untuk Sungai Bakap yang diwakili PH kembali ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

"Secara peribadi, saya memang tertekan kerana semua memberikan dan meletakkan harapan tinggi, apatah lagi Sungai Bakap bukan 'status quo', maksudnya sebelum ini menang, sekarang menang, tetapi kini kita mahu menang di tempat yang kita kalah.

"Oleh sebab itu kita perlu bekerja keras dan tidak mustahil (untuk menang) apatah lagi mendapat sokongan jentera yang sangat kuat termasuk daripada Barisan Nasional (BN)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi ramah mesra bersama pengamal media di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Sungai Bakap, di sini, hari ini.

Joohari berkata, dia akan berusaha untuk mengembalikan kepercayaan pengundi kawasan itu terhadap Kerajaan Perpaduan.

"Kita (PH) tak pernah lagi kalah sebelum ini dan hantar Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) ke (persidangan) DUN.

"Hanya tahun lalu (tidak hantar kerana kalah pada PIlihan Raya Negeri) yang ia mungkin disebabkan isu sentimen (dibawa PN), kepercayaan dan persepsi (terhadap Kerajaan Perpaduan).

"Jadi (PRK Sungai Bakap) kita kena betulkan balik persepsi kerana kita nak bawa balik (pengundi) supaya mereka percaya kepada kita. Oleh sebab itu, kita kena kerja keras, beri maklumat yang tepat kepada masyarakat supaya mereka memilih orang yang betul," katanya.

Sementara itu, Joohari berkata, latarbelakangnya sebagai pendidik akan digunakan untuk menarik undi anak muda.

"Kita perlu dekati pengundi pertama kali (first voter) dengan ilmu kerana bagi saya, orang baru (undi) ini kalau mereka yakin dengan seseorang (calon) yang boleh kekalkan dua tiga penggal, dia akan undi (calon) yang sama.

"Kita kena beri ilmu yang betul kepada orang muda kerana mencari ilmu bukannya hanya dalam 30 saat dan berdasarkan Tik Tok, sebaliknya kena kekalkan tradisi dengan belajar, masuk kuliah, buat 'research' (kajian) dan 'reference' (rujukan).

"Orang yang hanya dengar 'hearsay' (khabar angin) tanpa ilmu takkan ke mana, semangat sahaja akan naik namun semangat pun ada naik turunnya. Bila kita tukar, semangat itu boleh berubah," katanya.

PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Joohari dan PN yang diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail, 56.

Kawasan Sungai Bakap diadakan semula pilihan raya susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 7:18 PM