SAIFUDDIN Nasution (kanan) berpelukan dengan Dr Joohari selepas selesai penamaan calon di luar perkarangan Dewan Serbaguna Jawi. FOTO Mikail Ong
SAIFUDDIN Nasution (kanan) berpelukan dengan Dr Joohari selepas selesai penamaan calon di luar perkarangan Dewan Serbaguna Jawi. FOTO Mikail Ong
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap dianggap peluang terbaik untuk Kerajaan Perpaduan mencipta sejarah sekiranya calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin, 60, diangkat menjadi wakil rakyat kawasan itu, 6 Julai ini.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PRK Sungai Bakap berbeza dengan PRK yang diadakan sebelum ini apabila penyandang parti masing-masing bertanding berjaya mengekalkan kemenangan.

Katanya, kerusi Dun Sungai Bakap sebelum itu adalah milik PH sebelum ia beralih kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu.

"PRK (Sungai Bakap) kali ini memang (Kerajaan Perpaduan) nak menang (tawan semula kerusi) dan kukuhkan kerajaan di Pulau Pinang.

"Berbeza dengan PRK Simpang Pulai semasa (Datuk Seri Salahuddin Ayub) meninggal dunia dan kita berjaya kekalkan (kemenangan) yang ia tidak ada kejutan.

"Di Kemaman (PRK) juga menyaksikan (PN) kekal (menguasai kerusi itu) dan ini (Sungai Bakap) kalau sebelum ini Sungai Bakap PN menang tetapi ini peluang terbaik Kerajaan Perpaduan cipta sejarah dengan calon yang dikemukakan kita," katanya.

Terdahulu, Saifuddin bersama beberapa kepimpinan gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) ditemui pemberita selepas mengiringi Joohari ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna Jawi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pengundi Sungai Bakap diminta membuat penilaian dengan baik apabila keadaan ketika ini turut berbeza dengan PRN lalu apabila Pulau Pinang berada bersama-sama Kerajaan Perpaduan.

"Semasa itu (PRN enam negeri) membayangkan kerajaan pusat jatuh dan bukan sedikit yang terpesona (dengan bayangan itu) namun keputusan 3-3 membuktikan kerajaan perpaduan kekal kompak dan berfungsi dengan baik.

"Jadi sekarang clarity (jelas) sudah wujud dan jauh berbeza (dengan keadaan dulu). Walaupun kami ambil sikap optimistik tetapi kami kena reach out (mendekati) dan mampu buat itu dengan kehadiran (jentera parti) kerajaan perpaduan," katanya.

PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH dan PN yang diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail, 56.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada 2 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 1:28 PM