Jawatankuasa Bertindak Masalah Air Mukim 5 Sungai Bakap bersama penduduk mengadakan sidang media berhubung permasalahan air di kawasan itu di Taman Sungai Duri Indah, Nibong Tebal. FOTONNur Izzati Mohamad
Jawatankuasa Bertindak Masalah Air Mukim 5 Sungai Bakap bersama penduduk mengadakan sidang media berhubung permasalahan air di kawasan itu di Taman Sungai Duri Indah, Nibong Tebal. FOTONNur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Kerajaan Pulau Pinang menegaskan sekali lagi tidak pernah lari apabila berusaha menangani masalah gangguan bekalan air yang membelenggu penduduk di Mukim 5 Sungai Bakap, di sini, sejak enam tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP2030) oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang diumumkan sebelum ini giat merangka projek jangka pendek, sederhana dan panjang.

"Untuk (projek) jangka pendek, kita sedang merancang projek paip baru sepanjang lima kilometer (km) untuk menyalurkan air terus ke Mukim 5 dari Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Panchor yang baru dinaiktaraf.

"Manakala, projek jangka sederhana dan panjang juga sedang diatur," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

PBAPP sebelum itu menjelaskan mengambil pelbagai inisiatif untuk meningkatkan bekalan air di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) antaranya melalui tiga projek mitigasi tambahan iaitu Pakej 12A LRA, LRA Kompak di Sungai Kerian dan pemasangan paip di Jalan Permatang Pauh hingga ke Jalan Kampung Bagan Serai (Seberang Perai Tengah).

Dalam pada itu, satu lagi projek jangka panjang iaitu Projek Air Perak dan Pulau Pinang juga dijangka akan menyelesaikan permasalahan air di kawasan itu selepas 2030 nanti.

Terdahulu, Jawatankuasa Bertindak Masalah Air Mukim 5 Sungai Bakap dalam sidang media berpandangan beberapa projek bagi menyelesaikan permasalahan air seolah-olah 'pil paracetamol' dan 'projek eksperimen' atau 'ubat pelali'.

Khairul Ahmad Fitri Suhaimi yang mewakili jawatankuasa itu mendakwa projek Tangki Sedutan Widuri dan Welleslley tidak berfungsi secara konsisten dan kukuh.

Dakwanya, penyelesaian segera bagi masalah air di Mukim 5 Sungai Bakap menerusi rundingan kerajaan Pulau Pinang bagi mendapatkan air bersih daripada LRA Lubuk Buntar, Kedah.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, kerajaan negeri awalnya memang sudah membeli air daripada LRA Lubuk Buntar, namun dihentikan penjualannya oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) pada 2020.

"Ini apabila mereka (Kedah) memberi alasan bahawa air (untuk rakyat sendiri) tidak cukup.

"Jadi bukan Pulau Pinang, tetapi Kedah yang hentikan penjualan air daripada LRA Lubuk Buntar ke Pulau Pinang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 1:48 PM