AL-SULTAN Abdullah dan Tunku Azizah berkenan bergambar bersama dua gajah Myan Thon Pian dan Rambai yang mengepalai perarakan menyambut ketibaan Seri Paduka di Kompleks Bunga Raya, KLIA hari ini. FOTO Bernama
AL-SULTAN Abdullah dan Tunku Azizah berkenan bergambar bersama dua gajah Myan Thon Pian dan Rambai yang mengepalai perarakan menyambut ketibaan Seri Paduka di Kompleks Bunga Raya, KLIA hari ini. FOTO Bernama
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "Saya rasa mahu menangis dapat melihat wajah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah biarpun (Baginda) berada dalam kereta," kata kanak-kanak, Nur Ayra Zahra Mohd Zairi.

Kanak-kanak berusia 12 tahun itu antara ribuan orang ramai yang berkumpul di sepanjang Jalan Parlimen di sini, bagi menyaksikan Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, pagi ini.

Nur Ayra Zahra berkata, biarpun masih kanak-kanak namun dia memahami baginda adalah 'orang penting' dalam negara yang bersemayam di Istana Negara, malah mengakui teruja dapat menyertai majlis lambaian kasih dan selamat tinggal kepada pasangan diraja berkenaan.

"Saya selalu lihat Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dalam televisyen saja, baru hari ini saya berpeluang melihat baginda berdua depan mata sendiri biarpun baginda berada di dalam kereta tetapi itu sudah buat saya teruja.

"Raja Permaisuri Agong cantik sangat dan saya terharu dapat peluang seperti ini. Saya suka Yang di-Pertuan Agong kerana baginda mesra dengan rakyat, saya gembira melihat baginda melambai dan senyum kepada kami," katanya ketika ditemui.

Pekerja swasta, Hanim Zaini, 32, berkata, dia sanggup mengambil cuti hari ini untuk menunaikan janji membawa dua anak, Ana Qaisara Khairul Zulfadli, 6, dan Khalish, 5, untuk menyaksikan istiadat berkenaan.

HANIM bersama keluarga. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
HANIM bersama keluarga. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Menurutnya, kedua-dua anaknya sangat menyayangi Seri Paduka Baginda berdua yang disifatkan pemerintah yang menjiwai rakyat, malah anak juga menggelarkan Yang di-Pertuan Agong sebagai 'atok Agong'.

"Anak memang teruja dan mahu datang ke sini awal untuk menyaksikan keberangkatan baginda berdua. Kami sekeluarga merasai baginda berdua sangat dekat dengan rakyat dan sedih juga melihat istiadat, hari ini.

"Saya selalu bawa anak ke Istana Negara dan selalu cerita mengenai Institusi Diraja, malah bapa mentua (Khairul Anwar Ismail, 58) juga adalah kakitangan Muzium Diraja (Istana Negara Lama)," katanya dari Pantai Dalam, di sini.

Setiausaha eksekutif, Dayang Ratnawati Abang Hassim, 42, berkata, sebagai anak Sarawak secara peribadinya dia sangat menghargai inisiatif Kembara Kenali Borneo yang membawa Seri Paduka Baginda berdua dan keluarga ke Borneo.

Katanya, ia memberi peluang kepada rakyat di Sarawak dan Sabah untuk mendekati Institusi Diraja selain menyifatkan Seri Paduka sebagai sultan yang berjiwa rakyat dan selalu menyantuni rakyat tidak mengira bangsa.

"Baginda terasa dekat di hati rakyat biarpun tidak pernah bertentang mata tetapi melalui aspek baginda mendekati rakyat termasuk turun padang menyelami kehidupan rakyat, malah seluruh keluarga baginda juga berjiwa rakyat.

"Sebagai rakyat saya berterima kasih dan bersyukur sepanjang lima tahun pemerintahan baginda yang memberi gambaran jelas kepimpinan yang menghayati landasan Islam," katanya yang hadir ke Jalan Parlimen sejak 8.30 pagi.

DAYANG Ratnawati (empat kiri) bersama rakan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
DAYANG Ratnawati (empat kiri) bersama rakan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Dalam pada itu, penjawat awam, Ahmad Shahidin Ashraf Mohd Nor, 30, berkata, layanan Seri Paduka Baginda berdua disifatkan sama rata untuk semua rakyat jelata tidak kira di Pahang atau seluruh negara, malah kemesraan pasangan Diraja itu juga akan dikenang selalu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menghadiri Istiadat Keberangkatan Balik yang bermula dari Istana Negara, sebelum berangkat ke Dataran Parlimen, sebagai simbolik tamat tempoh pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Acara kemuncak iaitu majlis lambaian kasih dan selamat tinggal kepada pasangan diraja berkenaan bermula dari Dataran Parlimen ke Bulatan Dato' Onn pada 9.30 pagi, sebelum Seri Paduka Baginda berdua berlepas ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk kembali bersemayam di Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 1:08 PM