Mohd Azizi Abu Naim
Mohd Azizi Abu Naim
Sharifah Mahsinah Abdullah


Kota Bharu: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yakin sistem peruntukan undang-undang negara adalah yang terbaik dan akan memberi keadilan kepadanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mohd Azizi turut berharap peruntukan undang-undang negara adil kepadanya sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat di DUN Nenggiri pada Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU-15) lalu.

"Semalam, saya sudah melantik peguam untuk mencabar keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang diumumkan kelmarin.

"Saya yakin sistem keadilan dan peruntukan undang-undang negara kita adalah yang terbaik dan akan memberi keadilan kepada saya sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh majoriti pengundi di Nenggiri.

"Justeru, saya berserah sepenuhnya kepada kebijaksanaan pasukan guaman untuk mengendalikan kes berkenaan dan paling penting saya percaya dengan takdir Allah," katanya

Terdahulu, Mohd Azizi memaklumkan akan memfailkan afidavit di mahkamah pada Ahad ini bagi mencabar keputusan Speaker DUN berhubung kekosongan kerusi yang disandangnya.

Kelmarin, Speaker DUN Kelantan, Mohd Amar mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Bersatu mengenai keahlian Mohd Azizi yang hilang daripada Bersatu.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 28 Jun bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 3:12 PM