MAN ditemui dalam program sambutan Maulidur Rasul peringkat penjara Penor, Kuantan.
MAN ditemui dalam program sambutan Maulidur Rasul peringkat penjara Penor, Kuantan.
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: “Agama Islam menjadi penyuluh kepada saya supaya menjadi insan sentiasa reda dan patuh ajaran agama dalam apa saja keadaan walaupun terpaksa berdepan pelbagai dugaan.

“Sebelum ini, saya ketua kongsi gelap di Kuala Lumpur dan Selangor yang mempunyai ramai pengikut dengan melakukan pelbagai aktiviti seperti peras ugut dan merompak,” kata banduan dikenali sebagai Man, 51.

Man yang memeluk Islam enam tahun lalu berkata, detik dia mula tertarik dengan agama itu ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor apabila bermimpi didatangi lelaki berjubah putih melaungkan azan.

Katanya, selepas kejadian itu hatinya seolah-olah tidak tenteram dan meronta memeluk Islam dan beberapa hari selepas itu dia melafazkan syahadah dengan bantuan penjara.

“Saya bersyukur perjalanan sebagai umat Islam lancar dan mudah sekali apabila mendapat tunjuk ajar menerusi program keagamaan sepanjang dalam penjara sambil dibantu rakan.

“Selain solat dan puasa saya belajar membaca al-Quran, saya bersyukur walaupun buta huruf namun Allah menerangkan hati dengan memberikan ingatan kuat menghafal dan mengingati apa dipelajari,” katanya yang khatam al-Quran.

Man yang ditemui dalam program sambutan Maulidur Rasul peringkat Penjara Penor di sini, berkata dia kini menjalani hukuman penjara sembilan tahun kerana kesalahan rompakan bersenjata.

Katanya, minat melakukan kajian terhadap agama menjadi pendorong kepadanya memilih Islam yang lengkap dalam semua perkara.

“Sebelum ini saya menganut tiga agama, tindakan itu dilakukan kerana saya ingin mengkaji sejauh mana kebenaran dan ketulenan setiap agama.

“Saya dapati hanya Islam agama yang benar dan sesuai untuk saya,” kata anak sulung daripada 16 beradik itu.

Man berkata, hukuman penjara sembilan tahun dikenakan kini berbaki lima tahun dan minat mendalam terhadap Islam mendorongnya meneruskan pengajian agama apabila dibebaskan nanti.

“Saya dan isteri berjanji belajar agama selepas ini bagi melengkapkan dan mendalami ilmu supaya keimanan lebih kuat,” katanya yang sebelum ini empat kali menjalani hukuman di penjara lain di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 4:47 AM