BANDUAN bergotong-royong menyediakan tujuh kawah bubur asyura  pada program Halaqak peringkat Penjara Penor.
BANDUAN bergotong-royong menyediakan tujuh kawah bubur asyura pada program Halaqak peringkat Penjara Penor.
Mohd Rafi Mamat


KUANTAN: Selepas memeluk Islam jiwanya kini tenang dan semakin insaf apabila setiap hari berpeluang membaca al-Quran selain mengikuti program keagamaan.

Menurut bekas ketua kongsi gelap yang mahu dikenali sebagai Anas, 53, dia bersyukur dengan hidayah diterima sejak empat tahun lalu ketika menerima hukuman atas jenayah samun bersenjata di Penjara Kajang, Selangor.

Katanya, sebagai individu buta huruf, dia mula mendalami ilmu agama secara perlahan hasil didikan ustaz dan rakan.

Katanya, peluang berada di Penjara Penor di sini, mengukuhkan lagi pegangan agama apabila berpeluang mengikuti program pemulihan Halaqak.

“Selepas empat tahun menghuni Penjara Penor, saya kini mampu menghafal beberapa surah al-Quran hingga berpeluang menyertai pertandingan hafazan peringkat penjara kebangsaan dan beberapa program keagamaan peringkat penjara Pahang.

“Sebelum ini, saya menganut tiga agama dan terakhir Buddha sebelum mendapat hidayah Islam. Kelebihan Islam tiada bandingan dengan agama lain dalam semua perkara,” katanya yang sebelum ini menetap di Kuala Lumpur.

Beliau ditemui bersama banduan lain yang menyertai program membuat bubur asyura peringkat Penjara Penor di sini, kelmarin.

Program yang bermula jam 8 pagi dan berakhir lapan jam kemudian itu dianjurkan Unit Pemulihan Penjara Penor disertai 35 banduan pemulihan fasa dua dibantu 27 kakitangan penjara membabitkan tujuh kawah asyura.

Anas yang dihukum penjara sembilan tahun dan bebas pada 2022 berkata, dia bersyukur selepas dia memeluk Islam, isterinya terbuka hati untuk turut bergelar Muslimah.

“Selepas bebas nanti saya bercadang untuk meneruskan pengajian Islam, masih banyak ilmu agama yang perlu saya dan isteri timba daripada ustaz sebagai bekalan bertemu Yang Maha Esa di akhirat.

“Hidayah yang saya terima begitu besar ertinya, saya antara insan terpilih untuk bergelar Muslim selepas gagal dengan tiga agama sebelum ini,” kata datuk kepada dua cucu itu.

Ketua Unit Pemulihan Penjara Penor, Ketua Inspektor Penjara (KIP) Rosmizi Mohamed berkata, program membuat asyura yang diadakan setiap tahun disertai banduan terpilih dengan kerjasama kakitangan penjara.

“Kali ini sebanyak tujuh kawah asyura resipi pantai timur dan utara disediakan secara gotong-royong, tujuh kilogram (kg) rempah, 25kg beras, 28kg gula pasir dan 37kg santan digunakan.

“Bubur asyura diagihkan kepada semua banduan, dengan cara itu ia diharap dapat mengembalikan ingatan kepada kampung halaman seterusnya menimbulkan keinsafan kepada mereka yang tersilap langkah memilih jalan,” katanya yang akan menambah lebih banyak program keagamaan untuk banduan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 6:10 AM