ADHAN Haziq (dua dari kiri) membaca al-Quran di Madrasah Tahfiz Al-Aziz, Sungai Sekamat, Kajang. FOTO Azhar Ramli
ADHAN Haziq (dua dari kiri) membaca al-Quran di Madrasah Tahfiz Al-Aziz, Sungai Sekamat, Kajang. FOTO Azhar Ramli
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kajang: "Lima tahun lalu, saya rasa terpaksa belajar di maahad tahfiz ini namun lama-kelamaan saya mula merasai kemanisannya," kata Adhan Haziq Muzzafar.

Adhan Haziq, 15, adalah pelajar Madrasah Tahfiz Al-Aziz Sungai Sekamat di sini, dan sudah menghafal 11 juzuk al-Quran.

Dia yang berasal dari Kajang berkata, banyak hikmah diterimanya selepas belajar di maahad tahfiz berkenaan.

"Sebelum ini, bacaan al-Quran saya tidak lancar malah saya membacanya tanpa mengikut tajwid yang betul.

"Saya mengambil masa tiga tahun untuk belajar dan melancarkan bacaan kalam Allah SWT ini.

"Dua tahun digunakan untuk menghafal al-Quran sehingga juzuk 11 dan kini saya sedang menghafal penuh juzuk 12," katanya.

Menurutnya, dia 'jatuh cinta' dengan al-Quran seterusnya membuatkannya tidak boleh berpisah dengan kitab suci berkenaan.

"Setiap kali bangun tidur, perkara utama yang saya ingat ialah al-Quran dan akan membaca ayat yang sudah dihafal.

"Rasa kehidupan tidak lengkap jika tertinggal perkara rutin ini walaupun sekali," katanya.

Jelasnya, hasil didikan guru-guru, dia berjaya menghafal satu juzuk al-Quran dalam tempoh sebulan.

ADHAN Haziq sudah menghafal 11 juzuk al-Quran. FOTO Azhar Ramli
ADHAN Haziq sudah menghafal 11 juzuk al-Quran. FOTO Azhar Ramli

"Setakat ini, juzuk paling mencabar untuk dihafal bermula daripada juzuk 11 kerana selepas juzuk 10, terdapat ayat yang panjang dan memerlukan daya fokus tinggi.

"Setiap hari saya memperuntukkan masa kira-kira lapan jam untuk menghafal al-Quran malah saya berdoa dan berharap dapat menghafal 30 juzuk pada usia 17 tahun," katanya.

Anak sulung daripada lima beradik berkata, juzuk yang menjadi kegemarannya ialah juzuk satu kerana terdapat ayat dalam juzuk ini, jika membacanya sebelum waktu Maghrib, pembacanya akan memperoleh ganjaran berganda.

"Saya bercita-cita ingin menjadi ustaz kerana mahu berkongsi ilmu yang dipelajari di maahad tahfiz.

"Selain itu, saya ingin menjadi imam di luar maahad tahfiz tetapi masih belum dapat merealisasikannya kerana syaratnya, saya perlu menghafal sekurang-kurangnya 15 juzuk al-Quran.

"Selain itu, saya turut berhasrat membuka maahad tahfiz sendiri kerana mahu melahirkan lebih ramai tahfiz al-Quran," katanya.

Adhan Haziq berkata, paling menggembirakannya ialah apabila menjadi imam solat keluarganya setiap kali cuti dan pulang ke kampung.

"Ibu selalu berpesan supaya tidak melupakan al-Quran walaupun sudah menghafalnya. Pegang dan lihat al-Quran setiap kali membacanya kerana ia peneman di alam barzakh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 7:01 AM