Muhammad Iman Izzuddin Jamaludin, 21 peserta dari Sabah dalam kategori 1 hingga 10 juzuk menggunakan eBraille Al-Quran dalam menghafaz. FOTO OMAR AHMAD
Muhammad Iman Izzuddin Jamaludin, 21 peserta dari Sabah dalam kategori 1 hingga 10 juzuk menggunakan eBraille Al-Quran dalam menghafaz. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


Johor Bahru: Meskipun dilahirkan serba kekurangan dan buta, Muhammad Iman Izzuddin Jamaludin, 21, bersyukur diberi keterangan hati menghafaz al-Quran dengan hanya bermula mendengar alunan ayat suci itu menggunakan cakera padat ketika berusia empat tahun.

Dia yang mewakili Sabah pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) tahun ini berkata, mendengar alunan bacaan al-Quran sejak berusia empat tahun itu menjadi rutin yang bagaikan mendengar muzik saban hari buatnya.

"Mendengar alunan bacaan al-Quran (melalui cakera padat) sudah seperti peneman saya, ia 'muzik' buat saya sejak dari kecil lagi.

"Jiwa saya rasa lebih tenang apabila mendengar ayat al-Quran, ia garis panduan untuk semua umat manusia, termasuk saya walaupun punyai kekurangan," katanya ketika ditemui di Pusat Islam Iskandar, di sini, hari ini.

Mengenai pengalamannya menghafaz al-Quran, anak ketiga daripada empat beradik berkata, pada mulanya agak susah untuk menghafal dari satu juzuk ke satu juzuk, tetapi usaha tanpa mengenal putus asa mengatasi semua itu.

"Alhamdulillah, atas semua usaha saya selama ini, kini saya dapat mewakili Sabah dalam hafazan kategori 1 hingga 10 juzuk.

"Saya berdebar kerana ini kali pertama berada di pentas besar MTHQK," katanya.

Sementara itu, bapanya, Jamaludin Kassim, 59, berkata, selain mendengar alunan bacaan al-Quran menggunakan cakera padat dan eBraille, anaknya itu juga mengikuti kelas taranum sejak berusia 15 tahun.

"Iman (nama panggilan Muhammad Iman Izzuddin) belajar al-Quran secara sendiri (mendengar cakera padat) dan apabila ada kelas taranum di Sabah, ketika dia di Tingkatan Tiga, saya masukkan dia ke kelas taranum dan belajar dengan Qari yang pernah mewakili Sabah.

"Sejak usia 11 tahun, dia sudah mengikuti pertandingan di sekolah dan pernah mewakili Sabah, saya harap Iman berjaya dalam impiannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 1:07 PM