FOTO hiasan
FOTO hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


POLIS Kuala Lumpur mendedahkan warga ibu kota mengalami kerugian sehingga RM573 juta akibat diperdaya sindiket penipuan Macau Scam dan Love Scam sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kes itu adalah tertinggi yang direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur.

“Kita mencatatkan sebanyak 3,011 kes sepanjang tahun lalu (2019) dengan kerugian RM573 juta berbanding 2,345 kes pada tahun 2018 membabitkan kerugian RM1.2 bilion. Ia meningkat sebanyak 666 kes atau 28.4 peratus namun jumlah kerugian menurun jika dibandingkan kedua tahun berkenaan.

“Kes tipu terbabit terbahagi kepada pelbagai jenis penipuan termasuk Macau Scam, Love Scam, Afrika Scam, penipuan syarikat dan pinjaman tidak wujud,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mazlan berkata, kes pecah amanah jenayah juga menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 4.8 peratus daripada 252 kes (2018) berbanding 264 kes pada tahun lalu.

“Walaupun jumlah kes lebih rendah berbanding kes tipu tetapi jumlah kerugian yang dialami amat tinggi iaitu sebanyak RM509 juta (2018) manakala RM2 bilion (2019),” katanya.

Sementara itu, katanya, kadar jenayah indeks Kuala Lumpur menunjukkan penurunan sebanyak 7.84 peratus iaitu daripada 12,122 kes pada 2018 kepada 11,172 kes (2019).

Mazlan berkata, statistik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) juga menunjukkan penurunan jumlah kes sebanyak 3.9 peratus iaitu daripada 13,413 kes (2018) kepada 12,896 kes (2019).

“Bagi membanteras penyalahgunaan dadah di pusat hiburan, JSJN melakukan 293 serbuan dan menahan 1,647 orang sepanjang tahun lalu.

“Selain itu, kita juga mengesan ramai anak muda beralih dari berhibur dan mengambil dadah di kelab malam ke ‘private party’ di kondominium mewah. Sebanyak 32 serbuan Op Private Party dilakukan sepanjang tahun lalu dengan 525 orang ditangkap dan 361 daripadanya positif dadah,” katanya.

Katanya, pihaknya akan terus mempergiat operasi dan meningkatkan pemantauan bagi memastikan Kuala Lumpur berada dalam keadaan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 4:30 PM