FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Ahmad Hasbi


Seremban: Kes penipuan mencatatkan 86 peratus daripada jumlah keseluruhan kejadian jenayah komersial di Negeri Sembilan sepanjang tahun ini dengan kerugian berjumlah RM20.89 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, sebanyak 1,923 kes penipuan dilaporkan sejak Januari hingga Oktober lalu berbanding 1,333 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

"Jumlah kerugian direkodkan meningkat daripada RM18.83 juta pada 2020 kepada RM20.89 bagi tempoh sama, jumlah kes pula meningkat sebanyak 44.3 peratus atau 590 kes.

"Seramai 830 individu yang dipercayai sebagai 'keldai akaun' ditahan dengan 285 daripadanya sudah dituduh di mahkamah manakala bakinya masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jenayah yang dilakukan pemilik akaun akan dimasukkan ke dalam rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali gus akan menjejaskan urusan harian dan menyukarkan mereka mendapat pekerjaan kelak.

Menurut Aibee, sempena pelancaran Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Achryl Sani baru-baru ini, pihaknya turut memperhebatkan program pencegahan kes penipuan.

"Ini bagi memberi pendedahan kepada masyarakat awam supaya tidak terjebak dan menjadi mangsa kegiatan sindiket penipuan.

"Pendekatan diambil adalah dengan menghebahkan kepada orang ramai mengenai trend semasa jenayah dilakukan sindiket terutama membabitkan tujuh jenis kategori penipuan.

"Ia membabitkan penipuan pembelian dalam talian (e-dagang), Macau Scam, Love Scam, pinjaman tidak wujud, tipu tawaran pekerjaan, tipu pelaburan dan tipu penyamaran sebagai kenalan terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 12:38 PM