FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Norsyazwani Nasri


SEBANYAK 40 kes penipuan atas talian direkodkan di daerah Kuching membabitkan kerugian RM 2.29 juta sepanjang tempoh 18 Mac hingga 5 Jun tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komosioner Awang Din Awang Gani berkata, bagi tempoh sama tahun lalu, RM 1.17 juta kerugian dicatatkan membabitkan 18 kes seperti Macau Scam, Love Scam, African Scam dan lain-lain

"Kita ingin mengingatkan masyarakat bahawa percubaan untuk melakukan penipuan melalui telefon, aplikasi media sosial seperti Facebook, Instagram, dan Whatsapps berlaku hampir setiap hari.

"Sikap mudah terperdaya juga merupakan faktor yang menyebabkan mangsa mudah tertipu,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, panik dan rasa simpati dengan kenalan dalam laman sosial akan menyebabkan seseorang itu mudah terpedaya.

"Dalam modus operandi macau scam, penjenayah akan menyamar sebagai polis atau pihak berkuasa yang lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri(LHDN),Kastam, Bank Negara, bank komersil dan lain-lain lagi.

"Mereka akan meminta maklumat peribadi dan nombor kad pengenalan mangsa," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudia ditakutkan dengan tunggakan kad kredit, pinjaman peribadi, masalah kes atau saman undang-undang, kes langgar lari, tunggakan cukai dan perkhidmatan (GST), tunggakan cukai pendapatan / perniagaan, nama digunapakai untuk nama sesuatu syarikat, terlibat di dalam kes wang haram, kes jenayah, kes dadah dan sebagainya.

"Dalam modus operandi Love Scam dan African Scam pula, penjenayah akan menggunakan maklumat peribadi dan gambar yang palsu dalam aplikasi sosial untuk memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa perkenalan dan persahabatan dalam laman sosial adalah benar dan mangsa akan mudah menunjukan rasa simpati untuk membantu penjenayah yang menyamar.

"Ketika dihubungi pihak yang mencurigakan, jangan sesekali memindahkan wang atau memberikan butiran perbankan kepada mereka, yang penting hadir di balai polis berdekatan untuk mendapatkan nasihat," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 5:31 PM